WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ISU BERKAITAN CHINA, TARIF BERI IMPAK KE ATAS MOMENTUM EKONOMI MALAYSIA

14/05/2025 03:25 PM

Oleh Rosemarie Khoo dan Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi suku pertama Malaysia 2025 berkemungkinan mencabar dari segi menepati jangkaan pasaran ketika pelabur terus berusaha menangani impak gabungan kesan ketidaktentuan perdagangan sebelum ini serta dedahan China ke atas ekonomi negara.

Anggaran awal menunjukkan pertumbuhan KDNK perlahan kepada 4.4 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2025, lebih rendah daripada 5.0 peratus pada suku akhir 2024.

Keadaan itu berlaku walaupun terdapat rangsangan sementara dalam bentuk penghantaran awal syarikat-syarikat sebelum berlakunya kenaikan tarif -- menunjukkan ekonomi kehilangan momentum walaupun sebelum ketidaktentuan dagangan memuncak.

“Ekonomi ini tidak perlukan cabaran lain...kesannya sudah kelihatan,” kata penganalisis yang juga Rakan Pengurusan SPI Assett Management Stephen Innes kepada Bernama.

Beliau berkata unjuran itu disukarkan lagi dengan faktor latar belakang geopolitik secara meluas.

Perkembangan membabitkan perubahan tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas barangan China mungkin mengurangkan risiko cabaran perdagangan, namun penganalisis memberi amaran impak sebenar ke atas sentimen dan aktiviti perniagaan sudah bermula lebih awal sebelum ketegangan itu mereda.

Output perkilangan misalnya kekal menguncup di sepanjang empoh suku berkenaan, sekali gus memaparkan keadaan aktiviti perindustrian yang perlahan.

Lebih membimbangkan, aktiviti pelaburan juga menunjukkan tanda-tanda tekanan.

Permohonan pinjaman pelaburan tetap susut 3.1 peratus tahun ke tahun -- penurunan pertama bagi tempoh sejak akhir 2022, manakala pembayaran pelaburan turun 7.6 peratus, menandakan penurunan suku tahunan ketiga berturut-turut.

Peserta pasaran kini menilai sejauh mana penyusutan itu boleh dikaitkan dengan gangguan yang disebabkan tarif, dan sama ada terlepas pandang terhadap sebarang kelemahan jangka pendek untuk cenderung kepada potensi pemulihan jangka panjang.

Bagaimanapun, risiko struktur lebih membimbangkan.

“Isu sebenar bukan hanya berkaitan dengan mekanisme perdagangan -- ia adalah China. Hubungan perdagangan Malaysia yang erat dengan ekonomi China yang terdedah kepada deflasi terbukti menjadi kelemahan yang lebih berterusan,” katanya.

Memandangkan China masih bergelut untuk merancakkan semula permintaan dan menstabilkan harga, kesan sampingan sedang dirasai di seluruh rantau ini, dan Malaysia secara khususnya turut terdedah.

Dalam persekitaran ini, sasaran pertumbuhan rasmi Malaysia sebanyak 4.5 hingga 5.5 peratus bagi 2025 mula kelihatan terlalu optimistik.

Penggubal dasar dilaporkan sedang mempertimbangkan semakan turun dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengubah nada dasarnya daripada neutral kepada cenderung rendah namun, berhati-hati.

BNM telah mengenal pasti cabaran luaran daripada ketegangan perdagangan di samping mengingatkan mengenai risiko limpahan susulan pertumbuhan lembap di negara rakan dagang utama.

Bank pusat itu mengakui cabaran luaran berikutan ketegangan perdagangan, malah turut memberi amaran mengenai risiko akibat pertumbuhan yang perlahan dalam kalangan rakan dagangan utama. 

Bagaimanapun, inflasi yang terkawal memberi ruang kepada dasar BNM untuk bertindak.

"Berikutan inflasi yang terkawal dan prospek pertumbuhan yang menurun, peluang untuk penurunan kadar dilihat cerah. Pengurangan 2.5 mata asas seawal bulan Julai kini dilihat berpotensi dilaksanakan, terutamanya jika angka suku pertama terus merosot atau permintaan global terus melemah," kata Innes.

Secara keseluruhannya, pengumuman KDNK suku pertama 2025 bukan sekadar gambaran aktiviti ekonomi terkini, tetapi ia juga menjadi ujian keyakinan pelabur terhadap kemampuan Malaysia untuk menghadapi persekitaran luaran yang lebih mencabar.

 “Walaupun pasaran mungkin ingin mengenepikan kelembapan dalam waktu terdekat ini, realitinya ekonomi China masih terperangkap dalam keadaan statik dan pelaburan domestik terus merosot.

“Ia memberikan mesej yang jelas bahawa Malaysia mungkin sedang menghadapi tekanan terhadap daya tahan ekonominya, dan penurunan kadar faedah bukan lagi sekadar kemungkinan, ia mungkin menjadi kenyataan," katanya.

Sementara itu, Profesor Ekonomi Universiti Sunway Dr. Yeah Kim Leng berkata KDNK suku pertama negara dijangka lebih tinggi daripada anggaran awal 4.4 peratus yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ia berikutan prestasi yang lebih baik daripada yang dijangka dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) pembuatan dan perdagangan borong serta runcit pada Mac yang mencerminkan prestasi luar dan domestik Malaysia.

Beliau berkata faktor-faktor sokongan lain untuk pertumbuhan KDNK yang berterusan adalah aktiviti peminjaman yang berterusan serta inflasi yang rendah, yang kedua-duanya menyokong penggunaan domestik dan pelaburan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan