WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MH17: MALAYSIA TETAP TEGAS CARI PENYELESAIAN DAN TEGAK KEADILAN UNTUK MANGSA

16/05/2025 12:14 AM

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

KAZAN, 15 Mei (Bernama) -- Malaysia tidak berganjak daripada posisi untuk mencari jalan penyelesaian dan menegakkan keadilan, khususnya kepada keluarga dan juga mangsa insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014.

Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata bagaimanapun, Malaysia juga harus bijak dalam mengatur langkah dalam menangani isu ini.

Menurut beliau, hakikat laporan terkini berhubung penemuan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bahawa Rusia bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 yang dikeluarkan sehari sebelum lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Moscow, perlu diteliti.

"Saya fikir hal ini seperti yang disebut semalam oleh Perdana Menteri adalah tidak wajar ia dipolitikkan kerana dalam keadaan sekarang yang terbaik bagi kita ialah mencari jalan dan juga kaedah untuk menyelesaikan kemelut ataupun masalah yang timbul," katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Moscow dan Kazan, Tatarstan.

Beliau berkata pada masa ini, terdapat desakan untuk Perdana Menteri bertindak tegas dalam hal yang menyebabkan tragedi MH17.

"Dalam pertemuan tertutup bersama Presiden Vladimir Putin semalam, isu ini telah dibangkitkan secara langsung oleh Perdana Menteri," katanya.

Sementara itu, Muhammad Kamil menyifatkan segmen pertama lawatan Perdana Menteri ke Moscow membuahkan hasil yang memberangsangkan.

"Perdana Menteri yang bertemu dengan Perdana Menteri Persekutuan Rusia, Mikhail Mishustin dan juga Presiden Vladimir Putin membincangkan beberapa perkara yang penting termasuk berkaitan pelaburan volatile dan juga hal lain.

"Kita dapat menyaksikan beberapa hal yang berkaitan dengan kaedah untuk mengukuhkan lagi dan meningkatkan peluang perdagangan ekonomi dengan mengesahkan ataupun memuktamadkan antara lainnya, hal yang berkaitan dengan penerbangan langsung oleh syarikat penerbangan milik Rusia, iaitu Aeroflot yang akan memulakan penerbangan tidak lama lagi dari Moscow ke Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata hal ini pasti akan menggalakkan lagi kegiatan pelancongan antara kedua-dua negara yang menyaksikan dalam tempoh dua tahun ini ada peningkatan yang signifikan dari sudut jumlah kemasukan pelancong dari Rusia ke Malaysia dan dari Malaysia ke Rusia. 

Selain itu, katanya perbincangan dalam bidang-bidang lain juga menampakkan hasil positif termasuk dalam industri halal.

"Perdana Menteri juga mengadakan pertemuan dengan pemain industri yang menyaksikan ada potensi besar untuk tempoh lima tahun ke hadapan. Dijangka kalau ini berlaku dengan baik kita boleh menyaksikan antara RM5 bilion hingga RM10 bilion jumlah pelaburan untuk perdagangan yang dapat direalisasikan antara Malaysia dengan Rusia," katanya.

 Sementara itu, Anwar akan menghadiri Gala Reception on the occasion of the XVI International Economic Forum Russia – Islamic World: KazanForum 2025 pada 12 tengah malam waktu Malaysia.

Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan rasmi empat hari bermula pada 13 Mei tiba di Kazan hari ini untuk segmen kedua lawatan yang akan berakhir esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan