WILAYAH - SARAWAK > BERITA

IMIGRESEN SERBU PUSAT HIBURAN TAWAR TARIAN ALA BOLLYWOOD

17/05/2025 11:12 AM

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Jabatan Imigresen menahan 10 pendatang tanpa izin dalam serbuan Op Gegar di sebuah pusat hiburan yang menyediakan persembahan tarian ala Bollywood kepada pelanggan, malam tadi.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata dalam serbuan bermula 12.45 malam itu, lapan lelaki dan dua wanita warganegara Nepal, Bangladesh dan Pakistan berusia lingkungan 20-an hingga 40-an ditahan kerana disyaki menjadi pekerja, penjaga premis dan pelanggan.

“Pusat hiburan ini dikawal ketat di pintu masuk dan dibuka eksklusif kepada pelanggan dari negara Asia Selatan untuk berhibur dengan menyaksikan penari-penari membuat persembahan tarian ala Bollywood,”  katanya kepada pemberita selepas tamat operasi berkenaan.

Beliau berkata pasukan serbuan juga menemukan sebuah kotak tertera nama penari yang digunakan untuk memasukkan wang bagi diberikan kepada penari digemari pelanggan.

“Pelanggan juga boleh menukar wang kepada wang replika dan kemudian mereka akan menaburkan wang itu kepada penari-penari wanita sebagai tanda penghargaan kepada persembahan ditunjukkan,” katanya.

Sementara itu, Wan Mohamed Saupee berkata Jabatan Imigresen Kuala Lumpur turut menahan 25 warga asing termasuk dua kanak-kanak dalam serbuan Op Selera di tiga restoran di sekitar ibu negara.

Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 18 lelaki dan tujuh wanita warganegara India, Pakistan, Bangladesh, Thailand dan Indonesia berusia lima hingga 60 tahun.

Menurut Wan Mohamed Saupee, kesemua yang ditahan dalam kedua-dua serbuan itu melakukan kesalahan termasuk tidak mempunyai permit, permit tamat tempoh dan tidak mematuhi syarat permit untuk tinggal di negara ini di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Sekyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Depoh Imigresen Bukit Jalil bagi proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan