KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) melancarkan program ‘SOORIAN’ yang bertujuan memperkasakan penyertaan komuniti India dalam bidang keusahawanan francais.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata sebanyak 1,000 peserta akan menerima manfaat bernilai hampir RM54.5 juta melalui latihan, pembiayaan pusingan, kemudahan pinjaman dan program pembinaan kapasiti.
“Daripada jumlah itu, 500 peserta akan diberikan jaminan pekerjaan sepenuhnya (100 per cent job guarantee).
“Peserta akan dilatih mengikut kemahiran masing-masing sebelum ditempatkan di sektor yang sesuai dengan gaji minimum RM1,700 hingga RM2,800,” katanya pada sidang media selepas pelancaran program itu di Menara Pernas di sini hari ini.
Beliau berkata permohonan penyertaan boleh dibuat mulai hari ini secara dalam talian melalui laman web rasmi Pernas atau terus di pejabat Pernas.
Program itu akan berlangsung dua tahun bermula 1 Jan 2026 hingga 31 Dis 2027, menumpukan latihan francais, penempatan pekerjaan serta pembangunan francaisor dalam kalangan usahawan India.
Beliau berkata antara sasaran utama ialah 50 syarikat menyertai program kesedaran halal dengan sekurang-kurangnya 10 syarikat memperoleh pensijilan halal dan 20 syarikat berpotensi diserapkan ke dalam Program Pembangunan Francais (FDP).
“Selain itu, 400 usahawan kecil akan menerima pembiayaan mikro manakala 100 francaisi atau pemegang lesen akan menikmati kemudahan pembiayaan francais atau pelesenan.
“Program ini terbuka kepada warganegara Malaysia kaum India berumur 18 hingga 60 tahun, sama ada individu atau syarikat, dengan syarat perniagaan mereka patuh syariah serta mempunyai lesen atau pendaftaran yang sah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pernas Datuk Nur Azam M Taib berkata Pernas yakin bahawa model francais platform terbaik untuk memperkukuh penyertaan komuniti India melalui program SOORIAN.
"Sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pernas, SOORIAN direka untuk membantu komuniti India mengembangkan potensi mereka dalam keusahawanan francais melalui bimbingan, latihan dan pembiayaan.
"Secara keseluruhannya, SOORIAN manifestasi komitmen CSR Pernas dalam membangunkan komuniti melalui pendekatan francais melalui satu bentuk pelaburan sosial yang membawa manfaat jangka panjang kepada rakyat dan ekonomi negara," katanya ketika berucap pada majlis itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial