BANGI, 9 Okt (Bernama) -- Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) akan memperkasakan penganjuran enam kempen kesihatan persekitaran peringkat nasional sebagai pemacu perubahan tingkah laku, meningkatkan standard kebersihan dan budaya kebersihan persekitaran.
Kempen yang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu ialah Kempen Premis Makanan Bersih, Kempen Pasar Awam Bersih, Kempen Tandas Awam Bersih “BMW”, Kempen Membasmi Infestasi Tikus, Kempen Cegah Wabak Denggi, dan Kempen Pengurusan Haiwan Terbiar.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kempen ini merupakan pelaksanaan, penjajaran program dan komitmen negara terhadap Matlamat Pembangunan Mampan 4 (SDG), khususnya SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan), SDG 6 (Air Bersih dan Sanitasi) serta SDG 11 (Kemampanan Bandar dan Komuniti).
“Ia bukan sekadar kempen semata-mata, tetapi pembudayaan standard operasi piawai mengikut garis panduan yang telah disediakan, penguatkuasaan beretika, disokong oleh penyertaan komuniti setempat dan inovasi teknologi seperti aplikasi aduan digital (PBTCare) dan aplikasi Penarafan Bintang Tandas Awam (PBTa) untuk tandas Bersih, Menawan dan Wangi (BMW),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia (SHKPS) Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 bertemakan “Persekitaran Sejahtera, Masyarakat Harmoni, Negara MADANI” di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk M Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah JKT Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali.
Nga berkata pelaksanaan kempen ini telah disokong dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM860,000 daripada peruntukan JKT dan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) membabitkan KPKT sebagai peneraju Teras 4: Memantapkan Kebersihan Persekitaran.
“Peruntukan ini kita tumpukan kepada intervensi berimpak segera, meningkatkan kesedaran dan libat urus komuniti, pemantauan berkala serta komunikasi risiko yang berkesan.
“Selain itu, RM100 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan melalui inisiatif Belanjawan 2025 untuk projek pembinaan gerai dan membaik pulih prasarana pasar awam/gerai/warung di kawasan PBT,” katanya.
Sementara itu, Nga menegaskan tindakan yang menyeluruh dan berasaskan data diperlukan dalam usaha pencegahan wabak, kawalan roden, kebersihan pasar, tandas serta pengurusan haiwan terbiar.
“KPKT melalui Pihak Berkuasa Negeri dan PBT komited untuk memastikan persekitaran hidup rakyat, iaitu dari tandas awam hingga pasar, dan dari premis makanan ke lorong belakang berada pada standard yang bersih, selamat serta bebas daripada risiko penyakit,” katanya.
SHKPS 2025 hari ini turut mengiktiraf kecemerlangan PBT dalam kempen kesihatan persekitaran KPKT 2025 dan PBT Cemerlang Penarafan Bintang Audit Teknikal (PBAT) Program Kesihatan Persekitaran JKT 2025.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis Bandaraya Alor Setar serta Majlis Bandaraya Johor Bahru antara yang diberi penarafan lima bintang sekali gus dikategorikan sebagai PBT Cemerlang PBAT Program Kesihatan Persekitaran JKT 2025.
Mayor DBKK Datuk Seri Dr Sabin Samitah ketika ditemui merakamkan penghargaan kepada KPKT atas pengiktrafan sebagai PBT Cemerlang dalam PBAT 2025 sekali gus membuktikan aspek pematuhan baik dilaksanakan DBKK.
“DBKK memastikan sasaran yang telah ditetapkan KPKT itu dipenuhi ataupun dicapai meliputi aset-aset yang dibeli hasil daripada penyaluran dana dan direkodkan serta dijaga dengan baik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial