WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BELANJAWAN MADANI BUKAN SEKADAR ANGKA, TETAPI HALA TUJU UNTUK TERUS BANTU RAKYAT - PM ANWAR

10/10/2025 10:26 AM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Belanjawan MADANI Keempat yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini bukan sekadar angka dan perbelanjaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sebaliknya ia merupakan hala tuju untuk memastikan kerajaan terus membantu rakyat tanpa menambah beban hutang negara.

“Saksikan pembentangan Belanjawan MADANI 2026 secara langsung di semua saluran televisyen dan platform digital utama,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada 4 petang ini.

Ia merupakan belanjawan keempat yang dibentang oleh Kerajaan MADANI pimpinan beliau, dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 sekali gus menjadi asas utama bagi pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Anwar, ketika memberikan taklimat berkaitan Belanjawan 2026 kepada editor media di Putrajaya pada Rabu, berkata Belanjawan Kerajaan MADANI Keempat itu akan menumpukan usaha untuk membela rakyat, memperkukuh ekonomi serta memperteguh asas negara yang mampan dan inklusif.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat di laman sesawang Parlimen, Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 akan dibahaskan di Peringkat Dasar selama lapan hari oleh Ahli-Ahli Parlimen selepas dibentang hari ini.

Seterusnya, sesi penggulungan oleh kementerian akan berlangsung dari 29 Okt hingga 4 Nov diikuti perbahasan di Peringkat Jawatankuasa dari 5 hingga 27 Nov untuk kelulusan Dewan Rakyat.

Sementara itu, Perdana Menteri dalam hantaran berasingan menzahirkan rasa bangga di atas kerja keras pasukan Kementerian Kewangan yang membanting tulang menyiapkan Belanjawan 2026.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang berusaha tanpa lelah merealisasikan hasrat kerajaan untuk memaknai erti sebenar kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara menerusi dokumen ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan