KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kerajaan MADANI menumpukan kepada peralihan kepada pengangkutan hijau rendah karbon melalui perolehan bas dan van elektrik, di samping peningkatan prasarana moden bagi mobiliti rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan memperoleh sebanyak 1,450 bas elektrik dan 300 van elektrik secara berfasa hingga 2030 sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan beralih ke arah capaian pengangkutan awam yang lebih moden dan mesra alam.
"Selain itu, sebanyak 310 bas baharu juga akan diterima Prasarana menjelang Februari 2026 untuk menambah kekerapan perkhidmatan di kawasan tumpuan, manakala 300 van di bawah program Demand Responsive Transit (DRT) akan mula beroperasi sepenuhnya hujung tahun ini," katanya.
Anwar berkata agenda mobiliti rakyat ini turut diperkukuh dengan peningkatan ketersambungan rel negara, antaranya projek LRT3 yang menghubungkan Bandar Utama, Damansara ke Johan Setia, Klang dijangka beroperasi pada akhir 2025 dengan kapasiti membawa lebih 6,200 penumpang setiap jam, setiap arah.
Ini termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Fasa 1 dari Kota Bharu ke Gombak pula dijangka siap akhir 2026 sekali gus mengurangkan masa perjalanan dari Kelantan ke Lembah Klang kepada hanya empat jam, manakala bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) pula mula beroperasi ke stesen Kluang 10 Ogos lepas yang fasa terakhir ke Johor Bahru Sentral dijangka siap akhir 2025.
Selain itu, sistem LRT (Transit Aliran Ringan) Laluan Kelana Jaya akan dipertingkat melalui penggantian 26 unit tren baharu bernilai RM1 bilion, manakala projek LRT Laluan Mutiara di Pulau Pinang yang kini dilaksanakan bakal memanfaat 1.8 juta penduduk setempat serta 3.5 juta pegunjung luar.
"Malah, projek menaik taraf Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 pula dijangka siap pada 2029, menghubungkan Bandar Tasik Selatan ke Seremban dan simpang Pelabuhan Klang ke Port Klang dengan kos pembinaan RM4.1 bilion," katanya.
Perdana Menteri turut memaklumkan perhatian turut diberi kepada kesejahteraan pengguna pengangkutan awam yang menyaksikan hampir RM200 juta disediakan bagi memperkukuh perkhidmatan bas henti-henti termasuk menambah laluan baharu di Johor Bahru untuk menyokong operasi sistem Rapid Transit System (RTS) yang bakal beroperasi.
"Walaupun Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) telah diserahkan kepada kerajaan Sarawak, subsidi sebanyak RM209 juta tetap disediakan demi manfaat penduduk desa dan pedalaman Sabah serta Sarawak," katanya.
Di samping itu, Anwar berkata Pas MyRailLife percuma yang sebelum ini ditawarkan kepada komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) dan murid sekolah kini diperluas kepada kanak-kanak bawah enam tahun bagi perkhidmatan KTM Komuter dan Shuttle Diesel Multiple Unit (DMU).
Dalam pada itu, Anwar menzahirkan rasa dukacita terhadap beberapa tragedi jalan raya baru-baru ini termasuk kemalangan membabitkan bas, lori dan kenderaan awam lain yang meragut nyawa, sehubungan dengan itu aspek keselamatan jalan raya dengan peruntukan besar akan diperuntukkan bagi penyelenggaraan jalan selain penetapan penguatkuasaan peraturan had kelajuan bagi kenderaan berat.
Bagi tujuan itu, beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM2.5 bilion untuk penyelenggaraan Jalan Persekutuan, RM5.6 bilion melalui pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri (MARRIS), serta memasang 3,000 unit lampu LED di lokasi lebuh raya berisiko tinggi, perluasan Program Saringan Kesihatan PERKESO kepada pemandu pengangkutan awam dan barangan, manakala kos pembelian alat pengehad kelajuan untuk kenderaan berat akan diberi Elaun Modal Dipercepatkan bagi memudahkan tuntutan dalam tempoh setahun.
Dalam usaha menyokong peralihan ke arah kenderaan lebih selamat, Anwar turut memaklumkan kerajaan juga akan menyediakan geran padanan hingga RM4,000 kepada pemilik kenderaan berusia lebih 20 tahun untuk melupuskan kenderaan lama yang tidak lagi ekonomik dan digantikan dengan kenderaan nasional baharu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial