WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERAJAAN PERUNTUK HAMPIR RM220 JUTA PERKUKUH PERANAN PARLIMEN

10/10/2025 06:54 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan hampir RM220 juta bagi memperkukuh peranan institusi Parlimen tahun hadapan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sebagai tambahan, RM5 juta khusus bagi memperkasakan fungsi Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negara dan Dewan Rakyat sebagai semak dan imbang kepada dasar-dasar kerajaan.

"Setakat ini, rakyat di 143 kawasan Parlimen telah menerima manfaat daripada program-program kelestarian yang diikhtiarkan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM). RM15 juta disediakan untuk memperluas liputan ke lebih banyak kawasan parlimen," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya sekarang sudah pada peringkat libat urus bersama semua pihak berkepentingan.

Beliau berkata Pasukan Reformasi Undang-undang yang ditubuhkan sedang meneliti pembaharuan menyeluruh ke atas undang-undang jenayah, undang-undang kontrak termasuk merangka Rang Undang-Undang (RUU) Bidang Kuasa Admiralti dan RUU Koroner yang baharu.

"Setelah penggubalan Akta Kredit Pengguna, kerajaan akan meminda Akta Perlindungan Pengguna untuk memasukkan elemen ‘Lemon Law’ bagi melindungi hak pengguna yang sering tertindas," katanya. 

 -- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan