WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BELANJAWAN 2026: KOMPREHENSIF, BANTUAN TERUS KEPADA RAKYAT - AMINUDDIN

11/10/2025 05:15 PM

SEREMBAN, 11 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 mencakupi keperluan rakyat dan memberi lebih manfaat secara langsung khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana termasuk di Negeri Sembilan, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata secara keseluruhan belanjawan tersebut adalah komprehensif dan memberi gambaran jelas bahawa kerajaan berusaha menyalurkan bantuan secara langsung kepada rakyat sekali gus memperkukuh pembangunan di setiap negeri.

Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berharap pelaksanaan setiap inisiatif di bawah belanjawan itu dapat dilaksanakan dengan segera memandangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) telah diumumkan dan tidak sepatutnya wujud sebarang kelewatan dalam pelaksanaan projek pembangunan.

“Apa yang penting ialah bagaimana pelaksanaan itu dapat dilaksanakan segera kerana setiap satu daripadanya memberi kesan langsung kepada ekonomi dan kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Aminuddin turut menyambut baik inisiatif kerajaan seperti pendidikan percuma melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang membuka peluang lebih luas kepada golongan memerlukan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2026 semalam, beberapa projek pembangunan yang diumumkan turut melibatkan Negeri Sembilan antaranya pembinaan persimpangan PLUS untuk pembangunan Malaysia Vision Valley; baraj dan takungan air pinggiran sungai Pedas, Rembau; Pemulihan Pantai Teluk Kemang Port Dickson dan pembinaan sekolah baharu di Nilai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan