WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS SAHKAN WUJUD KEGIATAN MENGATUR KAUNTER DI SEMPADAN KELANTAN-THAILAND

12/10/2025 10:14 AM

KOTA BHARU, 12 Okt (Bernama) -- Polis Kelantan mengesahkan pihaknya mempunyai maklumat awal berhubung kegiatan mengatur kaunter atau counter setting di sempadan Malaysia-Thailand.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kegiatan seumpama itu amat membimbangkan terutama selepas berjaya menembusi kawalan keselamatan di kawasan berteknologi tinggi seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Saya risau tempat seperti KLIA yang ada CCTV (kamera litar tertutup) ketat pun boleh ada counter setting, apatah lagi pangkalan di tepi Sungai Golok yang panjang dan terbuka.

“Saya ada maklumat (mengatur kaunter di sempadan negara) cuma tunggu masa. Saya beri amaran dulu kepada mereka yang buat dan saya tidak teragak-teragak, kami akan tangkap tidak kira anggota PGA (Pasukan Gerakan Am) ke atau sesiapa sahaja,” katanya kepada Bernama di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini baru-baru ini.

Mohd Yusoff menyifatkan individu yang terlibat dengan kegiatan itu sebagai pengkhianat negara dan mereka sedang berada dalam 'radar' pihaknya.

“Bila saya bercakap, saya ada maklumat maksudnya memang ada (mengatur kaunter), insya-Allah kami akan buat tangkapan,” katanya.

Pada 24 Julai lepas, Bernama melaporkan seorang pegawai penguat kuasa ditahan di KLIA, Terminal 1, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan salah laku mengatur kaunter, iaitu kerjasama antara pegawai imigresen dengan sindiket untuk membawa masuk warga asing tanpa dokumen sah. 

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan memaklumkan pegawai penguat kuasa itu ditahan Unit Pemantau dan Unit Integriti AKPS selepas rakaman CCTV menunjukkan tingkah laku mencurigakan pegawai terbabit di kaunter pemeriksaan masuk.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata sejak beliau mengisytiharkan larangan rentas sempadan melalui jalan yang tidak diwartakan di sepanjang Sungai Golok, keadaan keselamatan di kawasan berkenaan kekal terkawal hasil pemantauan harian oleh Cawangan Khas.

Beliau berkata tindakan itu turut membawa kesan positif apabila kemasukan rakyat Malaysia ke Thailand secara haram menurun hampir 90 peratus berbanding penguatkuasaan sebelum ini.

“Hasil maklumat daripada rakan sejawatan di selatan Thailand menunjukkan penurunan ketara aktiviti di sempadan, termasuk kira-kira 85 peratus pusat hiburan di Sungai Golok di selatan Thailand yang dilaporkan telah berkurangan, malah banyak premis perniagaan di kawasan itu turut ditutup,” katanya.

Pada 1 Dis tahun lepas, polis Kelantan menguatkuasakan larangan rentas sempadan melalui pangkalan haram di Sungai Go­lok di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Rakyat Malaysia boleh ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/1963 kerana pergi ke Thailand menggunakan jalan tidak diwartakan.

“Sejak larangan rentas sempadan secara haram yang diumumkan, ia memberi impak dalam mengekang kemasukan rakyat kita ke Thailand secara haram, malah kegiatan jenayah seperti penyeludupan dadah dan pemerdagangan manusia turut menunjukkan trend penurunan,” katanya.

Mohd Yusoff berkata susulan larangan rentas sempadan yang dikuatkuasakan, pihaknya merekodkan rampasan kontraban sejak awal Januari hingga September tahun ini bernilai RM275,455,058 melibatkan 1,335 kes.

Beliau berkata sepanjang tempoh sama, sebanyak 62 kes jenayah rentas sempadan di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 turut direkodkan, dengan 104 individu ditahan kerana cuba memasuki Thailand secara haram.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan