WILAYAH - SARAWAK > BERITA

UDA SASAR LAHIRKAN ATLET BOLING PELAPIS WAKILI PERAK DALAM KEJOHANAN SUKMA

12/10/2025 05:40 PM

IPOH, 12 Okt (Bernama) -- UDA Holdings Berhad (UDA) menetapkan sasaran untuk melahirkan atlet boling pelapis melalui “Program UDA Cares: Bangunkan Komuniti, Lahirkan Juara”, sekali gus menggalas cabaran mewakili Perak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA), dalam tempoh empat tahun akan datang.

Pengerusi UDA Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata sasaran itu bukan sahaja realistik, malah diyakini mampu membuka ruang dan peluang lebih luas kepada bakat muda untuk digilap sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

“Sukan boling yang memerlukan perbelanjaan dan kos penyertaan tinggi, sering menidakkan peluang penyertaan bakat-bakat muda yang berada di bangku sekolah, terutamanya pelajar yang berlatar belakang keluarga dalam kumpulan B40.

“UDA yakin dalam kelompok ini, tersembunyi bakat besar yang mampu diketengahkan sebagai juara sekiranya mereka diberi ruang, peluang, bimbingan dan sokongan,” katanya selepas merasmikan Majlis Perasmian dan Pertandingan Program UDA Cares: Bangunkan Komuniti, Lahirkan Juara di Lite Superbowl JB9, di Plaza Angsana, di sini hari ini.

Mengulas mengenai program tersebut, beliau berkata seramai 29 daripada 120 pelajar yang menyertai saringan awal, telah terpilih untuk menjalani latihan intensif selama 16 minggu di bawah bimbingan bekas atlet boling kebangsaan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, bersama dua jurulatih profesional tempatan.

Mohd Annuar berkata daripada jumlah itu, lima peserta yang menunjukkan peningkatan paling konsisten dan disiplin tinggi, akan disenarai pendek untuk memasuki fasa latihan lanjutan.

“Program ini mencapai kemuncaknya hari ini dengan pertandingan boling sebagai acara penutup melibatkan 29 peserta terpilih daripada 120 murid meliputi empat sekolah rendah sekitar Ipoh.

“Mereka yang terpilih bersaing dalam dua kategori, iaitu Tahap 1 melibatkan peserta berusia 7 hingga 9 tahun dan Tahap 2 bagi peserta berusia 10 hingga 12 tahun,” katanya.

Beliau berkata program berkenaan turut mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Jabatan Belia dan Sukan Perak, Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Yayasan Perak, Perak Transit Berhad dan FND Empire Sdn Bhd.

Selain itu, Mohd Annuar berkata UDA dengan kerjasama Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), meneruskan komitmennya untuk memperkasakan komuniti setempat melalui penganjuran Karnival UDA Ipoh selama tiga hari bermula 10 Okt lepas, di lokasi sama.

Beliau berkata karnival tersebut bukan sahaja menjadi platform pembangunan sosial dan keusahawanan, malah membuka ruang jaringan ekonomi kepada golongan usahawan tempatan melalui pelbagai ruang pameran dan aktiviti jualan.

“Karnival ini juga menjanjikan peluang istimewa kepada orang ramai untuk memiliki kediaman idaman melalui tawaran projek hartanah eksklusif UDA seperti Dedaun Residensi, Eight & Eight Condominium, Amaanee Residence, Pelindung Heights dan SENA @ Kuala Terengganu Golf Resort (KTGR),” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan