WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA PERLU TERAJUI INOVASI BERASASKAN BIO UNTUK KELANGSUNGAN AIR - TPM FADILLAH

14/10/2025 01:55 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Malaysia perlu terus memperkasa penggunaan teknologi berasaskan bio dan tumbuhan sebagai alternatif mampan kepada rawatan kimia konvensional dalam pengurusan air dan air sisa, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata inovasi seumpama itu bukan sahaja dapat mengurangkan jejak karbon dan kesan terhadap alam sekitar, malah meningkatkan kecekapan sumber serta memperkukuh keupayaan kendiri negara dengan mengurangkan kebergantungan kepada bahan import.

“Usaha ini selaras dengan misi lebih luas di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi memastikan kelestarian air dan pemuliharaan alam sekitar digerakkan secara seimbang demi manfaat jangka panjang kepada manusia dan bumi,” katanya.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Air Antarabangsa Malaysia (MIWC) 2025 di sini, hari ini, yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau menegaskan bahawa ketika Malaysia melangkah ke arah Transformasi Sektor Air 2040 (AIR2040), langkah berani perlu diambil untuk mengguna pakai teknologi baharu serta memperkasa inovator tempatan bagi membentuk masa depan industri air negara.

“Kita bukan sahaja perlu mengadaptasi teknologi dari luar, tetapi juga mencipta, menambah baik dan mengeksport inovasi ciptaan Malaysia ke peringkat global.

“Dengan memupuk ekosistem dinamik yang merangkumi syarikat pemula tempatan, penyelidik dan usahawan, kita mampu membina asas kukuh harta intelek tempatan yang akan memperkukuh kapasiti negara, mempertingkat daya tahan ekonomi dan melahirkan generasi baharu pemimpin teknologi yang mampu meneruskan legasi air negara,” katanya.

Sempena acara itu, Fadillah turut melancarkan inisiatif NextWave Innovation serta program Mentor-Mentee Profesional Muda Air.

Fadillah berkata MIWC 2025 bukan sekadar sebuah persidangan, sebaliknya berperanan sebagai pemangkin transformasi yang menghimpunkan kerajaan, industri, akademia dan inovator dengan matlamat bersama, memanfaatkan sepenuhnya potensi air, membuka peluang serta mendorong gelombang baharu teknologi dan inovasi.

Antara tumpuan utama persidangan itu ialah Bengkel Air Tidak Berhasil (Non-Revenue Water, NRW) yang mencerminkan semangat inovasi dengan memberi fokus kepada peningkatan kecekapan, pemuliharaan sumber serta kelestarian jangka panjang.

“Melalui kaedah seperti pemantauan pintar, pengesanan kebocoran dan pemantauan berasaskan data, Malaysia kini mengambil langkah berani untuk menyokong matlamat kelestarian global serta mempertingkat keunggulan operasi,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai inisiatif NextWave Innovation, Fadillah berkata kerjasama strategik antara Professional Trade Exhibitions and Meeting Planners (PROTEMP) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi jambatan penghubung antara penyelidikan dan aplikasi, akademia dan industri, visi dan realiti.

“Kerjasama ini mencerminkan DNA kolaboratif yang perlu terus diperkukuh di Malaysia, tempat ilmu, teknologi dan matlamat bertemu untuk menghasilkan impak nyata kepada masyarakat,” katanya.

Fadillah berkata bagi mengukuhkan segala usaha ini, Malaysia menyasarkan penubuhan Hab Air Nasional menjelang 2040 sejajar aspirasi Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040).

“Hab ini akan menjadi pusat saraf kepada ekosistem air negara, menghubungkan penyelidikan, inovasi, dasar dan industri di bawah satu kerangka dinamik,” katanya.

Beliau menambah bahawa misi pengurusan air mampan tidak boleh digalas oleh satu institusi sahaja, sebaliknya memerlukan tanggungjawab kolektif melibatkan pembuat dasar, pemain industri, penyelidik dan komuniti.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan