WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS MOHON SAKSI KEJADIAN KERETA TERJUNAM DI SUNGAI PANCHOR TAMPIL BANTU SIASATAN

14/10/2025 02:27 PM

MUAR, 14 Okt (Bernama) -- Polis meminta mana-mana saksi kejadian kereta terjunam ke dalam Sungai Panchor, Pagoh di sini petang semalam tampil untuk membantu siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar Supt Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata kenderaan jenis Proton Saga yang dipandu Muhammad Husni Mahmud, 47, ditemukan kira-kira 10 malam dan mayat berjaya dikeluarkan daripada kenderaan itu pada 1.01 pagi tadi. 

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa bekerja di sebuah kilang kayu di Batu Pahat.

“Berdasarkan maklumat awal, seorang saksi warga emas berusia lingkungan 70-an yang berada di sebuah kedai berhampiran lokasi kejadian mendakwa melihat kereta itu berhenti di kawasan parkir di tepi sungai sebelum mendengar enjin dihidupkan dan kenderaan itu tiba-tiba bergerak ke dalam sungai,” katanya kepada pemberita di Unit Perubatan Forensik, Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini hari ini.

Beliau berkata ketika ditemukan mangsa tidak memakai tali pinggang keledar dan berada di tempat duduk pemandu.

“Buat masa ini, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk mengambil keterangan saksi-saksi di lokasi,” katanya.

Terdahulu, kereta berwarna hitam yang dipandu mangsa dilaporkan terjunam ke dalam sungai berkenaan kira-kira 2.30 petang semalam.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan