PADANG BESAR, 14 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perlis terus berusaha memperkukuh sektor perikanan darat dan pelancongan di negeri itu menerusi inisiatif melepaskan sebanyak 200,000 benih udang galah ke dalam Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh dekat sini hari ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Rahimi Ismail berkata inisiatif itu bukan sahaja membantu nelayan darat tempatan meningkatkan pendapatan mereka malah dapat memastikan kelangsungan hidupan akuatik di kawasan berkenaan yang boleh menarik minat pelancong.
"Pelepasan benih udang galah ini antaranya dapat membantu menyeimbangkan populasi hidupan tempatan berbanding spesies asing yang boleh mengancam ekosistem di kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melaksanakan pelepasan udang galah itu hari ini.
Rahimi berkata program pelepasan itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta kerajaan negeri melalui Bahagian Pembangunan Nelayan (BPN) yang melibatkan nilai keseluruhan RM50,000.
Beliau berkata terdapat kira-kira 40 nelayan darat berdaftar di kawasan itu dan inisiatif berkenaan diyakini mampu merangsang ekonomi mereka serta memperkukuh rantaian ekonomi hiliran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial