TANGKAK, 16 Okt (Bernama) -- Seorang wanita berusia 39 tahun kerugian RM65,100 selepas diperdaya sindiket menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pegawai polis.
Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada 15 Okt yang mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu memperkenalkan diri sebagai pegawai MCMC.
“Dalam perbualan itu, mangsa dimaklumkan kononnya terlibat dalam kes penipuan dalam talian dan penggubahan wang haram. Mangsa yang panik kemudian diarahkan memindahkan wang di dalam akaunnya ke beberapa akaun lain yang dikatakan bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa telah melakukan sebanyak 13 transaksi ke dua akaun berbeza yang disyaki sebagai akaun ‘mule’ sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM65,100.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Roslan turut mengingatkan masyarakat supaya mendapatkan maklumat terkini berkaitan penipuan dalam talian melalui laman sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) seperti Facebook, Instagram dan TikTok.
“Sekiranya seseorang telah menjadi mangsa penipuan, segera hubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997 bagi tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang daripada akaun suspek,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial