WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MENJEJAK TEMOLEH, IKAN IKONIK SUNGAI PERAK KINI DIANCAM KEPUPUSAN

16/10/2025 09:11 AM


From Muhamad Adzhar Tajuddin

Suatu masa dahulu, ikan temoleh atau temelian, antara ikan ikonik di Sungai Perak khususnya di daerah Perak Tengah, sering didaratkan oleh nelayan namun sejak beberapa tahun lepas spesies ikan air tawar bernilai tinggi ini semakin sukar ditemukan.

 Turut  dijumpai di Sungai Pahang, ikan jenis kap tempatan bersaiz gergasi dengan berat sekitar 20 hingga 40 kilogram (kg) ini dikatakan bukan sahaja payah dilihat tetapi saiznya juga kian kecil, menimbulkan kebimbangan tentang kelangsungan spesies itu di Sungai Perak.

“Saya boleh katakan lokasi kami ini antara lubuk temoleh cari makanan.Dulu, kalau dapat tangkap (ikan temoleh) setakat berat 10 hingga 20 kg itu perkara biasa. 

“Sekarang, dalam sebulan kalau dapat seekor dua yang bersaiz macam tu dah cukup bersyukur,” kata Mohammad Shahrul Buari ketika ditemui Bernama di Kampung Teluk Perang, di sini baru-baru ini.

 

TEMOLEH IKAN BERMUSIM 

Shahrul berkata berbeza dengan spesies lain seperti tenggalan, patin atau kelabau yang boleh didaratkan sepanjang tahun, temoleh ikan bermusim yang biasanya muncul antara Februari dan April ketika ikan itu mudik ke hulu untuk bertelur.

Berdasarkan pengalamannya yang telah lebih sedekad bergelar nelayan darat, temoleh atau nama saintifiknya Probarbus jullieni lebih gemar “bermain” di tengah-tengah arus deras, jauh dari tebing atau kawasan berarus tenang.

pic-2

Justeru, nelayan menggunakan pukat hanyut sebagai kaedah utama menangkap ikan yang suka melawan arus ini, jelasnya lagi.

“Tidak seperti spesies lain yang bergerak berkumpulan, temoleh bergerak berpasangan.  Cara paling berkesan untuk dapatkan temoleh bersaiz mega adalah dengan menggunakan pukat hanyut yang dipasang merentangi sungai di beberapa lokasi.

“Spesies ini juga hanya aktif pada waktu sunyi, sama ada awal pagi atau tengah malam. Jadi, kebiasaannya saya akan turun ke sungai antara 12 tengah malam hingga 7 pagi kerana peluang untuk mendaratkan temoleh lebih tinggi,” kongsinya.

 

TAK TERJERAT MATA KAIL 

Selain itu, Sharul berkata diet  ikan tersebut yang gemarkan siput kecil di dasar sungai, menyukarkan temoleh dipancing dengan kaedah biasa. 

“Temoleh bukanlah ikan yang mudah dipancing kerana tabiat makannya secara menyedut menjadikan ia jarang terkena mata kail,” katanya.

pic-3

Shahrul yang turut  berperanan sebagai peraih dengan membeli hasil tangkapan nelayan lain termasuk temoleh, tenggalan, kelabau, baung dan beberapa spesies lain yang bernilai tinggi di pasaran, berkata ikan itu tetap menjadi rebutan utama kerana keenakan rasanya.

“Daging ikan temoleh ini rasanya lembut, manis dan padat, jauh lebih enak berbanding spesies sungai yang lain, terutama kalau dimasak stim, gulai atau dipanggang.

“Biasanya pelanggan, khususnya kaum Cina dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Pahang sanggup datang ke sini. Mereka gemarkan saiz lima kilogram ke atas kerana tekstur daging yang sesuai dijadikan hidangan stim,” kongsinya.

 

HARGA TINGGI JADIKAN TEMOLEH ISTIMEWA

Shahrul kini turut memanfaatkan platform media sosial seperti Facebook, YouTube dan TikTok untuk memperluas pasaran, menjadikan temoleh sentiasa mendapat permintaan tinggi walaupun harganya mencecah RM80 hingga RM150 sekilogram bergantung pada saiz dan gred

Namun, di sebalik permintaan yang tidak pernah surut, Shahrul melihat masa depan temoleh semakin gelap ekoran ancaman spesies pendatang invasif seperti baung ekor merah, patin lawi dan patin mekong.

pic-4

“Ikan-ikan pendatang ini agresif. Kalau setakat temoleh seberat empat atau lima kilogram, mudah saja untuk ikan pendatang ini tewaskan. Saya rasa ini antara punca populasi temoleh mega semakin susut,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan spesies asing itu diternak di dalam sangkar di sepanjang Sungai Perak, khususnya di kawasan Teluk Intan, namun menjadi masalah apabila sangkar pecah dan ikan terbabit terlepas ke sungai.

“Bela (ikan asing) tu tak salah, tapi bila terlepas ia membiak terlalu cepat dan jadi ancaman kepada ikan asal sungai. Sepatutnya perlu ada kawalan lebih ketat,” katanya.

 

PULIHARA TEMOLEH, ELAK PUPUS

Bimbang dengan situasi semasa dan risiko kepupusan temoleh, Shahrul menzahirkan harapan agar pihak berwajib dapat memberi perhatian khusus kepada pemuliharaan ikan itu termasuk memperbanyakkan pelepasan benih atau mencari kaedah terbaik bagi memastikan spesies bernilai tinggi tersebut berkembang biak di Sungai Perak.

“Jika tiada tindakan segera, dibimbangi suatu hari nanti kita hanya tinggal mendengar cerita tanpa lagi berpeluang melihat ikan ini di sungai,” katanya.

Mengulas kebimbangan yang disuarakan oleh lelaki itu,  Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Perak Ghazali Manap mengakui populasi temoleh di Sungai Perak kian terancam.

pic-5

Beliau berkata data terkini jabatan menunjukkan jumlah pendaratan ikan itu terus merosot dalam tempoh lima tahun dengan hanya 116.40 kg direkodkan setakat Ogos untuk tahun ini, berbanding lebih 3,000 kg sepanjang 2023.

“Usaha pemuliharaan dan pelepasan benih sedang giat dilaksanakan untuk meningkatkan populasi semula jadi spesies ini, bukan hanya di Perak Tengah malah daerah lain seperti di Gerik, Kuala Kangsar, Batang Padang, Muallim dan sebagainya.

“Cuma, dalam meneruskan usaha ini kita berdepan pelbagai cabaran termasuk gangguan habitat, aktiviti penangkapan tidak terkawal dan ancaman spesies ikan pendatang,” katanya.

 

USAHA KAWALAN

Bagi mengawal kewujudan ikan pendatang, Ghazali berkata pihaknya juga telah menganjurkan siri pertandingan memburu ikan asing, antaranya Grand Prix Memburu Ikan Asing 2025 yang berjaya mendaratkan lebih dua tan metrik ikan invasif dengan pertandingan seterusnya akan diadakan di beberapa lokasi lain.

“Ancaman ini bukan perkara kecil, sebab itu kita libatkan masyarakat. Peranan komuniti nelayan setempat seperti MyKomuniti Nelayan Teluk Perang juga amat penting dalam menyalurkan maklumat dan memantau aktiviti di sungai,” katanya.

Ghazali turut memaklumkan pihaknya kini dalam fasa akhir memuktamadkan pindaan pada Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) Perak 1992 yang akan menyenaraikan temoleh sebagai spesies dilindungi bagi mengelak penangkapan tanpa kawalan.

“Kalau semua pihak bekerjasama, kita bukan sahaja dapat menyelamatkan temoleh daripada kepupusan, malah menjadikan ikan ini simbol warisan Sungai Perak yang boleh diturunkan kepada generasi akan datang,” katanya.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan