WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KWAP LANCAR DANA IKLIM+ RM2 BILION PERCEPAT PERALIHAN SIFAR BERSIH KARBON NEGARA

16/10/2025 03:53 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) - Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melancarkan dana pelaburan Dana Iklim+ dengan sasaran penggunaan RM2 bilion untuk mempercepat peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon dan mampu bertahan impak perubahan iklim.

KWAP dalam satu kenyataan hari ini berkata dana tersebut, yang pertama seumpamanya di Malaysia, akan menyalurkan modal institusi bagi pelaburan yang menumpukan kepada iklim merentasi infrastruktur, ekuiti persendirian, hartanah dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi, menyasarkan pulangan kewangan yang mampan dan juga impak positif kepada alam sekitar.

“Sebagai program pelaburan pemangkin ketiga KWAP, selepas Dana Pemacu dan Dana Perintis, Dana Iklim+ memperkenalkan strategi pelaburan khusus menumpukan kepada iklim, menggerakkan modal institusi ke arah penyahkarbonan dan daya tahan impak iklim,” katanya.

Dana itu dilancarkan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, yang merupakan pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada Sidang Kemuncak Kelestarian Kuala Lumpur 2025.

Inisiatif itu mencerminkan komitmen jangka panjang KWAP untuk mencapai portfolio pelaburan Sifar Bersih menjelang 2050 sambil mengembangkan peranannya sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang menumpukan kepada iklim mampan.

KWAP berkata inisiatif itu dipandu oleh rangka kerja pengukuran impaknya, yang mengukur impak merentasi enam dimensi termasuk penjajaran nasional, daya tahan iklim dan petunjuk faedah bersama sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“ ‘+’ dalam Dana Iklim+ mewakili petunjuk manfaat bersama ini, yang boleh memberi impak meluas daripada pelaburan menumpukan kepada iklim, mencerminkan pengiktirafan KWAP bahawa strategi iklim yang baik juga perlu menangani matlamat pembangunan yang saling berkaitan seperti keterjaminan makanan, air bersih, akses tenaga dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif,” katanya.

Ketua pegawai pelaburan KWAP Hazman Hilmi Sallahuddin berkata Dana Iklim+ menunjukkan bagaimana modal institusi boleh digerakkan untuk memacu impak alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Menerusi dana ini, kami menyasarkan untuk melabur dalam penyelesaian yang mencipta nilai berkekalan untuk masa depan Malaysia.

“Dana Iklim+ berusaha untuk mengurangkan sehingga satu juta tan metrik CO2e melalui pelaburan selaras iklim, mengukuhkan peranan KWAP sebagai institusi yang bertanggungjawab, mencerminkan komitmen jangka panjangnya untuk menerapkan kemampanan ke dalam ekosistem kewangan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas pelancaran dana tersebut Johari berkata dana RM2 bilion itu akan beroperasi sebagai kemudahan pusingan untuk menyokong projek iklim baharu secara berterusan.

“Dana ini bukan diberi percuma, tetapi akan membiayai projek yang boleh mengurangkan pelepasan karbon atau memperkenal teknologi baharu yang menyokong usaha perubahan iklim,” katanya.

Beliau berkata Dana Iklim+ akan menyokong projek berasaskan teknologi dan sumber semula jadi seperti penanaman semula hutan dan pembangunan teknologi karbon baharu yang mampu memberi nilai ekonomi kepada negara.

“Banyak teknologi yang kita cipta ini sebenarnya ada pulangan, contohnya dalam usaha reforestasi (penanaman semula pokok)  yang boleh menghasilkan kredit karbon,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan