KOTA KINABALU, 16 Okt (Bernama) -- Pelantikan Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dijangka dapat merapatkan pusat maklumat itu dengan komuniti setempat terutama yang berada di uar lingkungan liputannya.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sebelum ini, lokasi NADI hanya dapat memberi manfaat kepada komuniti yang berada dalam lingkungan antara satu hingga dua kilometer dari pusat maklumat itu.
"Penubuhan panel penasihat ini diharap dapat memantapkan operasi NADI sekali gus menghantar mesej mengenai kepentingan keselamatan dalam talian kepada komuniti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus NADI dan Pelantikan Panel Penasihat NADI Sabah di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.
Fahmi berkata pihaknya menerima aduan bahawa komuniti di kawasan yang lebih jauh tidak berkesempatan atau berdepan masalah pengangkutan untuk datang ke NADI maka Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil inisiatif untuk membawa NADI terus ke beberapa kampung.
Beliau berkata dalam Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM350 juta bagi memperkasakan semua 1,099 NADI di seluruh negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2026, berkata MCMC menyediakan RM350 juta bagi memperkasakan NADI termasuk membimbing usahawan desa untuk menambah pendapatan melalui perniagaan dalam talian.
Fahmi berkata NADI diwujudkan di luar kawasan lingkungan agar komuniti MADANI yang tinggal berjauhan tidak terpisah dan dapat menikmati kemudahan Internet.
“Kita tidak mahu hanya kampung tertentu sahaja yang mendapat akses kepada perkhidmatan di NADI, jadi kita bawa NADI ke dalam komuniti,” katanya.
Beliau juga berkata MCMC telah menjelajah ke lebih 3,800 institusi pendidikan untuk mengadakan ceramah bagi menyampaikan mesej terutama kepada pelajar sekolah rendah dan menengah mengenai penggunaan Internet yang selamat.
Fahmi berkata Internet adalah selamat sekiranya digunakan dengan penuh waspada dan penggunaan media sosial dihadkan bagi kanak-kanak di bawah usia 13 tahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial