JASIN, 17 Okt (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperkenalkan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) melalui pendekatan Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka selama tiga hari yang bermula hari ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali berkata konsep itu melibatkan penyertaan bukan sahaja daripada pihak tentera atau agensi keselamatan tetapi juga masyarakat, organisasi dan sektor swasta.
“Menerusi PMR 2025 Melaka ini kita mahu menyampaikan mesej bahawa keselamatan dan kedaulatan negara ini bukan bergantung kepada agensi keselamatan semata-mata tetapi keseluruhan masyarakat dan komuniti,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
PMR 2025 Melaka menampilkan pelbagai pengisian menarik merangkumi aktiviti komuniti, pameran agensi dan persembahan pertahanan.
Bertemakan ‘Aspirasi MADANI, Menjamin Pertahanan dan Kedaulatan Negara’, program yang berlangsung di Politeknik Merlimau, Jasin itu, dianjurkan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama strategik MINDEF dan kerajaan Melaka selaku penganjur bersama.
Lokman Hakim berkata selain pameran aset ketenteraan daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu darat, laut dan udara, PMR 2025 Melaka turut menampilkan pelbagai agensi kerajaan yang menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat.
“Kita ada lebih kurang 150 program yang dilaksanakan bagi mendekati rakyat seperti Jualan Rahmah dan Jualan Agro MADANI bagi membantu masyarakat mendapatkan bahan keperluan dalam usaha meringankan beban kos sara hidup mereka.
“Selain itu, terdapat juga diskaun bayaran saman hingga 50 peratus daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta penukaran 3,500 unit topi keledar secara percuma,” katanya.
Beliau berkata karnival kerjaya turut dilaksanakan oleh beberapa agensi kerajaan bagi memberi peluang kepada lepasan universiti mendapatkan pekerjaan dalam bidang pilihan masing-masing.
"ATM juga berkongsi perkhidmatan profesional yang terdapat dalam agensi itu seperti doktor perubatan dan pergigian, jurutera, juruterbang dan cef kerana mahu menggalakkan penyertaan belia," katanya.
Dalam pada itu, Lokman Hakim berkata selain perkhidmatan kepada masyarakat, MINDEF sebagai tuan rumah PMR 2025 Melaka turut mengadakan lima program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama masyarakat dan komuniti terpilih.
Beliau berkata secara keseluruhan, kementerian itu menerima tambahan peruntukan sebanyak RM20 juta pada tahun ini berbanding RM10 juta pada tahun lepas bagi melaksanakan program CSR di seluruh negara.
“MINDEF juga menerima tambahan RM600 juta pada Belanjawan 2026 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini sekali gus mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap kementerian ini untuk terus mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.
PMR Melaka 2025 berlangsung dari 9 pagi hingga 11 malam pada hari ini dan esok manakala pada Ahad dari 9 pagi hingga 6 petang bagi memberi ruang kepada pelbagai kementerian dan agensi mempamerkan inisiatif serta perkhidmatan digital mereka selain berinteraksi secara langsung dengan rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial