KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM) menandakan kemajuan berterusan ASEAN dalam membina masa depan tenaga yang saling berhubung, dengan Projek Integrasi Tenaga Laos–Thailand–Malaysia–Singapura (LTMS) disifatkan sebagai kisah kejayaan utama.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata projek itu, yang berfungsi sebagai model untuk kerjasama tenaga serantau masa depan, menunjukkan kemajuan ASEAN dalam memperkukuh kesalinghubungan, keselamatan dan kelestarian tenaga.
"Satu daripada previu kepada Grid Tenaga ASEAN (APG) ialah LTMS, iaitu eksport tenaga rentas sempadan antara negara. Kini tenaga disalurkan ke Thailand, Malaysia dan akhirnya ke Singapura. Jadi, hal ini akan diperbaharu," katanya kepada pemberita pada sidang media AMEM ke-43 dan mesyuarat berkaitan di sini hari ini.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata inisiatif itu menunjukkan perkembangan positif, dengan Thailand dijangka memuktamadkan penyertaannya tidak lama lagi.
"Semalam, mesyuarat bersetuju bahawa Thailand telah memberikan dokumen yang dijangka ditandatangani pada November. Terdapat sedikit kelewatan kerana berlaku perubahan kerajaan di Thailand, namun diharapkan perkara itu dapat dimuktamadkan November ini," katanya.
Beliau berkata projek LTMS menyediakan model perniagaan yang berdaya maju dan boleh diperluas ke negara ASEAN lain di bawah kerangka APG yang lebih luas.
"Inilah model perniagaan yang boleh kita kembangkan ke negara ASEAN yang lain berkaitan dengan APG. Mengapa perkara ini penting? Hal ini kerana ketika ini, ramai beranggapan bahawa Laos hanya membekalkan tenaga kepada Singapura.
"Itulah sebabnya projek ini penting bagi APG – untuk keselamatan bekalan, kelestarian, dan menjadi tenaga kekal mampu milik untuk rakyat. Di sinilah setiap negara akan membantu antara satu sama lain," katanya.
Fadillah berkata pengaturan perdagangan elektrik rentas sempadan itu turut membolehkan negara anggota ASEAN untuk saling menyokong ketika berdepan permintaan puncak atau penjanaan tenaga yang berkurangan.
"Ada masanya Laos tidak dapat membekalkan tenaga kepada Singapura kerana semasa musim sejuk, jana kuasa hidro tidak dapat membekalkan tenaga pada kapasiti penuh.
"Jadi, Malaysia kadang-kadang akan menambah 200 atau 100 megawatt lagi kepada Singapura. Begitu juga jika Malaysia kekurangan tenaga, kita akan dapatkan bekalan dari Singapura atau Thailand. Begitulah cara kita saling membantu," katanya.
Fadillah berkata selaku Pengerusi AMEM tahun ini, Malaysia telah memimpin perbincangan yang membawa kepada kejayaan mencapai Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) 2025, sekali gus menandakan kemajuan penting dalam kerjasama tenaga serantau.
Perbincangan termasuk pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja Keselamatan Petroleum ASEAN dan penyiapan Pelan Hala Tuju Jangka Panjang Tenaga Boleh Baharu ASEAN, yang berfungsi sebagai strategi pembangunan tenaga lestari di rantau ini.
Pencapaian lain termasuk pelancaran Inisiatif Pembiayaan Grid Kuasa ASEAN pada 15 Okt lepas, kerjasama dengan Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Bank Dunia untuk menyokong pelaburan grid rentas sempadan, dan Kerangka Kesiapsiagaan Tenaga Nuklear ASEAN untuk memperkukuh persediaan rantau ini terhadap penggunaan tenaga nuklear.
Fadillah berkata Filipina, selaku Pengerusi AMEM seterusnya, akan meneruskan pelaksanaan agenda dan inisiatif kerjasama tenaga serantau yang diluluskan pada AMEM ke-43.
Pada masa sama, beliau berkata ASEAN akan menilai semula kemajuan inisiatif kerjasama tenaga itu tahun depan, dengan mengambil kira keperluan pembangunan tenaga Timor-Leste.
"Menteri tenaga ASEAN akan bermesyuarat dua kali tahun depan, pada Jun dan Oktober untuk menilai kemajuan dan mengenal pasti bidang yang memerlukan penambahbaikan.
"Di sinilah kami akan melaporkan pencapaian berdasarkan pelan yang kita gariskan, apa yang telah dicapai, apa yang belum dicapai, dan bagaimana kita dapat membaikinya untuk memastikan segala yang dipersetujui hari ini akan dapat dicapai tahun depan," katanya.
Fadillah berkata Timor-Leste, yang turut menghadiri mesyuarat AMEM itu, telah membentangkan kekuatan dan keperluan pembangunan tenaga negara berkenaan, yang akan diambil kira dalam rancangan kerjasama tenaga masa depan ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial