WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PIALA FA: JDT, SABAH BAWA BEKALAN TIPIS KE AKSI SUKU AKHIR KEDUA

18/10/2025 12:02 AM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa bekalan tipis ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) selepas menewaskan Penang FC 2-1 pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Bandaraya, Georgetown, malam ini.

Penang, selaku tuan rumah, terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan pembukaan oleh JDT seawal minit keenam hasil penyudah pemain import Oscar Aribas.

Ketinggalan 0-1, skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail bangkit dengan beberapa gerakan menarik bagi menembusi pertahanan JDT sebelum usaha mereka membuahkan hasil menerusi Muhammad Adib Ra’op menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-35 menewaskan penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Azmi Mohamed.

Namun,skuad Harimau Kumbang diuji pada minit-minit akhir separuh masa pertama apabila kehilangan seorang pemain selepas Ahmad Irfan Mohd Noor diarah keluar padang akibat kekasaran terhadap Romel Morales.

Bersambung babak kedua, ketiadaan Ahmad Irfan sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan Penang FC sehingga mereka dihukum dengan jaringan kedua JDT oleh Ager Aketxe Barrutia pada minit ke-55 walaupun penjaga gol Mohd Khairulazhan Mohd Khalid sempat menepis bola.

Penang FC cuba bangkit namun gagal menyamakan kedudukan, sekali gus terpaksa merelakan JDT membawa pulang kelebihan 2-1 untuk aksi timbal balik pada 28 Okt depan.

Di KOTA BHARU, Kelantan  The Real Warriors  (TRW) gagal memanfaatkan kelebihan bermain di halaman sendiri apabila tewas 1-2 kepada Sabah FC di  Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

Sabah membuka jaringan menerusi penyerang Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew pada  minit ke-12 apabila bijak menyambung hantaran  lintang rakan sepasukan dalam kotak penalti  Kelantan.

Selang empat minit kemudian, tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi pemain import Abdul Sesay yang mudah menolak masuk bola hantaran lintang  rakan sepasukan dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol Sabah, Damien Lim.

Sabah  kemudian memperolehi  gol  kedua menerusi  pemain import  Ajdin Mujagic pada minit ke-43 sebelum separuh masa kedua bersambung.

Pada separuh masa kedua, Kelantan  menggandakan  serangan untuk mencari gol penyamaan namun pertahanan Sabah tetap kukuh sehingga wisel penamat.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan