GEORGE TOWN, 17 Okt (Bernama) -- Suspek yang menyerang bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri Prof Emeritus Dzulkifli Abdul Razak, awal pagi tadi dikatakan bersembunyi di tepi halaman rumah mangsa di Taman Pekaka, di sini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata kejadian berlaku pada 6.45 pagi ketika mangsa berusia 74 tahun pulang ke rumah dari masjid selepas selesai menunaikan solat subuh.
“Apabila tiba di hadapan rumah, mangsa menyedari kehadiran seorang lelaki disyaki warga tempatan bersembunyi di tepi halaman rumahnya, namun sebaik mangsa menghampiri, suspek tiba-tiba mengacukan objek berwarna hitam ke arahnya sebelum menyerang mangsa dengan objek berkenaan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Menurut Azizee, suspek kemudian melarikan diri dengan memanjat pagar rumah selepas mangsa menjerit meminta bantuan dan jiran yang menyedari kejadian turut cuba mengejar suspek, namun gagal.
Katanya, kejadian itu telah mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian kepala dan menerima 16 jahitan di sebuah klinik berhampiran.
Beliau berkata hasil siasatan dan tindakan pantas polis telah berjaya menangkap suspek, seorang lelaki warga tempatan berumur 52 tahun di kawasan Bayan Lepas, kira-kira 2.30 petang tadi.
“Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah dan 10 rekod kesalahan jenayah narkotik. Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial