WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DUA MAUT, LIMA NYARIS LEMAS DI PANTAI PENUNJUK

18/10/2025 10:45 PM

KEMAMAN, 18 Okt (Bernama) -- Kegembiraan tujuh sekeluarga berkelah di Pantai Penunjuk, Kijal, di sini bertukar tragedi apabila seorang wanita dan anak saudaranya maut, manakala lima lagi nyaris lemas selepas ditarik ombak ketika mandi-manda, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 petang, kesemua mereka dipercayai sedang mandi di kawasan pantai sebelum tiba-tiba dihanyutkan ombak ke bahagian lebih dalam.

Menurut beliau, lima mangsa berjaya diselamatkan oleh ahli keluarga dan orang awam, namun dua lagi mangsa tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke klinik dan hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Kanak-kanak perempuan  berusia 12 tahun yang tidak sedarkan diri ketika ditemui telah dibawa ke Klinik Kesihatan Kijal, namun disahkan meninggal dunia pada pukul 5.23 petang.

“Ibu saudaranya berusia 39 tahun turut tidak sedarkan diri dan dibawa Ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 5.42 petang,”katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Kijal Azizee Alias berkata kesemua mangsa yang nyaris lemas ketika mandi di pantai itu telah berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukannya.

"Pihak bomba di lokasi kejadian telah memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum mereka diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan