WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM ANWAR LUANG MASA SANTUNI RAKYAT DI PROGRAM MADANI RAKYAT MELAKA

19/10/2025 03:17 PM

JASIN, 19 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa hampir satu jam menyantuni ribuan rakyat sempena Program MADANI Rakyat 2025 Melaka yang berlangsung di Politeknik Merlimau di sini.

Anwar tiba sekitar 11.30 pagi dan diiringi Menteri Pertahanan Datuk Seri Khaled Nordin, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad.

Selepas merasmikan program berkenaan, beliau menyaksikan majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) kolaborasi strategik pembangunan Perwira SuperApp di pavilion Kementerian Pertahanan (MINDEF).

MoU itu ditandatangani antara Ketua Setiausaha MINDEF Datuk Lokman Hakim Ali dan Pengerusi Pernama Network Sdn Bhd Datuk Omar Shariff Mydeen.

Perwira SuperApp ialah aplikasi rasmi yang dibangunkan khas untuk komuniti MINDEF, meliputi anggota tentera, veteran, kakitangan awam, pasukan simpanan dan ahli keluarga mereka.

Aplikasi itu berfungsi sebagai hab digital sehenti yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan kerajaan, kewangan, pendidikan, kesihatan dan gaya hidup.

Perdana Menteri turut menyaksikan pertandingan tarik tali di kawasan aktiviti Sukan Permainan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum menghadiri kenduri rakyat di khemah Selera Melaka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan