WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PROGRAM MADANI RAKYAT 2025 CATAT KEHADIRAN TERTINGGI DI MELAKA - PM ANWAR

19/10/2025 04:20 PM

JASIN, 19 Okt (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 yang berlangsung di Politeknik Merlimau di sini mencatat antara jumlah kehadiran pengunjung paling ramai dalam sejarah penganjurannya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata penganjuran kali ini cukup istimewa apabila negeri Bandaraya Bersejarah itu menjadi tuan rumah dengan kerjasama Kementerian Pertahanan (MINDEF) selaku kementerian peneraju, yang berjaya menarik kehadiran besar rakyat melalui pameran pelbagai kemudahan serta kelengkapan pertahanan.

“Saya ucapkan penghargaan dan tahniah, terutamanya kepada MINDEF... kali ini agak lebih istimewa kerana tarikan kemudahan dan kelengkapan pertahanan itu menyebabkan begitu ramai yang hadir — mungkin antara yang paling ramai dalam sejarah Program MADANI Rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan PMR 2025 Melaka di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad.

PMR yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lepas merekodkan kehadiran seramai 204,834 pengunjung setakat 11 pagi ini.

Anwar turut merakam penghargaan kepada Kerajaan Melaka yang bekerjasama menjayakan program itu, selain menyifatkannya sebagai platform penting bagi kerajaan menyantuni rakyat serta memberi penjelasan terus berhubung dasar dan projek kerajaan.

“Tujuan kita mengadakan Program MADANI Rakyat ini antara lain adalah untuk menyantuni rakyat — supaya mereka tahu, faham dan dapat melihat sendiri pelaksanaan dasar serta projek yang diumumkan oleh kerajaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata pendekatan turun padang itu selaras dengan konsep Kerajaan MADANI yang menekankan ketelusan, kebertanggungjawaban dan komunikasi langsung dengan rakyat, selain membolehkan kerajaan memberi penjelasan supaya rakyat dapat menilai sendiri.

Terdahulu, Anwar dipersembahkan dengan ‘Asuk’, atau Anjing Siber Skuad Khas, iaitu robot anjing berteknologi kecerdasan buatan (AI) direka sebagai kenderaan darat tanpa pemandu berkaki empat (Q-UGV) bagi menyokong aplikasi keselamatan, pertahanan dan industri.

Asuk dibangunkan dengan kerjasama Ghost Robotics dari Amerika Syarikat dan berfungsi sebagai platform asas dalam strategi jangka panjang Aerospace Defence Industries Sdn Bhd (NADI) untuk membina ekosistem tanpa pemandu yang pintar dan beroperasi di darat, laut serta udara.

PMR 2025 Melaka yang melabuhkan tirai hari ini, menampilkan pelbagai pengisian menarik merangkumi aktiviti komuniti, pameran agensi dan persembahan pertahanan.

Bertemakan ‘Aspirasi MADANI, Menjamin Pertahanan dan Kedaulatan Negara’, program dianjurkan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama strategik MINDEF dan Kerajaan Melaka selaku penganjur bersama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan