WILAYAH - SARAWAK > BERITA

GAJUS KEMBOJA TINGKATKAN BEKALAN GLOBAL KEPADA LEBIH 5 JUTA TAN METRIK

20/10/2025 01:48 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 20 Okt (Bernama) -- Peningkatan pengeluaran gajus di Kemboja dijangka meningkatkan bekalan global kepada 5.5 juta tan metrik tahun ini, sekali gus meletakkan negara itu sebaris dengan pengeluar utama dunia seperti Ivory Coast, India dan Vietnam.

Pengeluar tradisional optimis terhadap hasil tuaian yang lumayan bagi komoditi itu, yang semakin mendapat tempat di pasaran komoditi antarabangsa berikutan lonjakan permintaan daripada aktiviti hiliran.

“(Pengeluaran) gajus mentah adalah pada paras 5.5 juta tan metrik. Antara tumpuan utama ialah Kemboja dan Tanzania apabila pengeluaran menunjukkan kadar pertumbuhan yang baik.

“Saya tidak fikir akan ada sebarang kesan akibat hujan lebat. Pokok gajus agak kuat dan mampu menahan perubahan cuaca,” kata Presiden Persatuan Gajus Seluruh India yang berpangkalan di Mangalore, Bola Rahul Kamath kepada Bernama.

Ivory Coast menguasai pengeluaran gajus dunia dengan lebih sejuta tan metrik, diikuti India di tempat kedua dengan 800,000 tan metrik manakala Vietnam mengeksport hampir 700,000 tan metrik setiap tahun.

Menurut Persatuan Gajus Kemboja, petani tempatan menghasilkan kira-kira 940,000 tan metrik gajus mentah dari Januari hingga Ogos tahun ini, menjana pendapatan eksport sebanyak RM6 bilion (US$1.4 bilion).

Keadaan iklim tani yang pelbagai di Kemboja menjadikannya kondusif untuk penanaman gajus. Petani menanam varieti M23 bersaiz besar yang tahan terhadap keadaan cuaca serta perosak dan penyakit, di kawasan seluas kira-kira 300,000 hektar.

Rasa berkrim, rangup dan citarasa semula jadinya yang unik menjadikan gajus Kemboja popular dalam kalangan pengimport.

Pakar industri menjangkakan Kemboja berupaya menghasilkan 1.2 juta tan metrik menjelang 2030, dengan keluasan tanaman berkembang kepada kira-kira 1.4 juta hektar.

“Gajus kami popular di seluruh dunia kerana rasa, tekstur dan manfaat kesihatannya. Vietnam memerlukan varieti M23 untuk dicampur dengan gajus Afrika bagi menambah nilai.

“Kira-kira 95 peratus gajus Kemboja dieksport ke Vietnam, dan kini kami berusaha mempelbagaikan pasaran ke negara seperti China dan India,” kata Presiden persatuan itu, Silot Uon, kepada Bernama.

Pengimport dari India dijangka mula menguji gajus Kemboja sebagai bahan dalam aktiviti hiliran mereka.

“Pemerhati pasaran menganggarkan nilai pasaran global pada sekitar RM30 bilion (US$7 bilion), dan menjelang 2031, nilainya dijangka mencecah RM42 bilion (US$10 bilion).

Industri ini disokong permintaan kukuh daripada pengguna bandar yang menggemari diet berasaskan tumbuhan serta peningkatan penggunaan isirong gajus dalam proses hiliran seperti pengeluaran susu, pelbagai snek berasaskan kacang dan konfeksi.

Peningkatan bekalan di pasaran antarabangsa pula dijangka tidak akan menjejaskan harga, susulan permintaan yang kekal teguh terhadap komoditi itu.

“Harga secara relatifnya stabil tahun ini. Peningkatan pengeluaran diserap oleh lonjakan penggunaan di pasaran China,” kata Kamath.

Menurut Persatuan Gajus Vietnam, China mengimport hampir 100,000 tan metrik gajus dari Vietnam dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, lapor Vietnam News.

Laman sesawang African Cashew Alliance menyatakan lebih 2.5 juta petani Afrika menghasilkan kira-kira separuh daripada bekalan gajus dunia.

Dunia menggunakan kira-kira 600,000 tan metrik gajus pada setiap tahun, menurut African Cashew Alliance.

Penanaman dan penuaian gajus merupakan tanaman kontan yang popular di negara-negara membangun dari Afrika hingga Asia Tenggara yang menjana peluang pekerjaan, pendapatan pertukaran asing dan menyokong sektor pertanian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan