SUKAN > BERITA

PIALA TUN ABDUL RAZAK ‘BUKA JALAN’ BUAT LAPAN PEMAIN SERTAI KEM LATIHAN KEBANGSAAN

23/10/2025 05:42 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Persembahan cemerlang lapan pemain muda negara pada Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak 2025, yang menutup tirai pada 11 Okt lepas berjaya memikat perhatian Ketua Jurulatih Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan Sarjit Singh.

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan enam pemain berusia sekitar 20 tahun, manakala dua lagi masing-masing berumur 23 dan 26 tahun itu dipanggil untuk menyertai sesi latihan skuad kebangsaan bermula 27 Okt di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. 

“Berdasarkan senarai pemain yang dipanggil, empat pemain berasal dari Pahang iaitu Wan Muhammad Najmi Ahmad Dzaib, Airil Abdul Razak Rahman, Aiman Safwan Hisham dan Muhammad Nor Syakir Hafiz. 

“.. manakala dua pemain dari Terengganu Darwisy Hamdan dan Muhammad Yadiy Mohamad Saifuddin, sementara dua lagi pemain adalah Zufar Saiful Marsita dan Muhammad Nur Asyraf Ishak dari Melaka diberi peluang berlatih bersama skuad kebangsaan,” menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, Sarjit dalam kenyataan sama memaklumkan lapan pemain yang dipilih menonjol dari segi kemahiran teknikal, tahap kecergasan, disiplin serta potensi jangka panjang untuk mengisi slot dalam skuad utama.

“Dalam latihan pusat, fokus pasukan kejurulatihan adalah untuk melihat bagaimana mereka menyesuaikan diri dengan tempo latihan dan sistem permainan di peringkat antarabangsa.

“Jika mereka dapat menunjukkan kualiti dan sikap yang baik, peluang untuk disenaraikan ke Piala Sultan Azlan Shah adalah cerah,” katanya. 

Latihan pusat itu menjadi sebahagian daripada persiapan skuad hoki kebangsaan menjelang dua kejohanan utama Piala Sultan Azlan Shah yang bakal berlangsung dari 23 hingga 30 Nov ini, diikuti Sukan SEA 2025 di Thailand pada 9 hingga 20 Dis ini. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan