WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TIMOR-LESTE BERHAK DAPAT TEMPAT DALAM KOMUNITI ASEAN - ANWAR

23/10/2025 01:09 AM

PUTRAJAYA, 22 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengulangi sokongan kuat Malaysia terhadap kemasukan Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN, dengan menyifatkannya sebagai langkah tepat dan wajar  serta kena pada masanya  bagi negara muda itu menyertai blok serantau berkenaan.

Berucap kepada media tempatan dan antarabangsa menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Anwar berkata Timor-Leste, yang pernah aktif dalam urusan serantau semasa menjadi sebahagian daripada Indonesia, telah membuktikan kesungguhan serta keazaman mereka dan kini wajar diberikan peluang untuk menikmati kemajuan kolektif ASEAN.

“Mereka telah lama ada... mereka menyertai ketika menjadi sebahagian daripada Indonesia pada masa itu, dan sewajarnya diberi satu tempat dalam keluarga ASEAN. Mereka telah berusaha sedaya upaya, dan Malaysia, khususnya Kementerian Luar, amat menyokong dalam membantu mereka dalam apa jua keperluan,” katanya dalam Sesi Taklimat Perdana Menteri bersama Ketua-Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di sini malam ini. 

Anwar yang melawat Timor-Leste baru-baru ini berkata sejarah penjajahan serta cabaran ekonomi negara itu tidak seharusnya menjadi penghalang kepada proses integrasi serantau mereka.

“Timor-Leste telah melalui sejarah yang amat tragik di bawah penjajahan dan konflik berpanjangan. Kini tiba masanya mereka diberi ruang serta bantuan yang diperlukan,” katanya.

Mengakui bahawa Timor-Leste masih antara ekonomi termiskin di rantau ini, Anwar menekankan potensi besar negara itu, khususnya dalam sektor minyak dan gas, serta tanggungjawab bersama negara anggota ASEAN untuk memberikan sokongan.

“Mereka miskin, ya, tetapi mereka tetap mempunyai potensi. Sebagai sebuah komuniti, menjadi tanggungjawab kami untuk membantu memperkukuh negara-negara seperti ini. Tidak seperti rantau lain, kami adalah sebahagian daripada sebuah rantau, dan kami mesti saling membantu,” katanya.

Anwar menyuarakan keyakinan bahawa ASEAN akan terus melakukan libat urus dan membantu Timor-Leste, sambil menegaskan bahawa blok itu sendiri pernah menerima sokongan luar pada masa lepas.

“Saya amat optimis bahawa ASEAN sebagai satu komuniti akan terus membantu, sama seperti kami juga pernah menerima bantuan daripada banyak negara seperti negara Barat, China dan lain-lain. Saya tidak fikir kami harus menafikan peluang itu kepada Timor-Leste,” katanya.

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut hadir berkata Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan menyaksikan kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 blok berkenaan, bersama lebih 80 keberhasilan utama yang lain.

Beliau berkata antara hasil penting lain termasuk Visi Komuniti ASEAN 2045, Perjanjian Perdagangan Barang ASEAN (ATIGA) serta pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 yang dinaik taraf.

Mohamad berkata Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, akan berperanan sebagai “penjaga tetap” bagi Visi Komuniti ASEAN 2045 bagi memastikan penyelarasan dan kesinambungan jangka panjang dalam kalangan negara anggota.

“Sepanjang tempoh kepengerusian kami, Malaysia komited terhadap visi 20 tahun ini dan akan menjadi penjaga tetap kepada Visi Komuniti ASEAN 2045,” katanya.

Beliau berkata perbincangan mengenai perkara tertangguh akan diteruskan pada Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) dan Mesyuarat Peringkat Menteri-Menteri ASEAN pada 24 dan 25 Okt sebelum dikemukakan kepada Sidang Kemuncak Pemimpin dari 26 hingga 28 Okt ini.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan