SUNGAI PETANI, 23 Okt (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan tiga lelaki warga tempatan dan merampas kenderaan, sisa elektronik serta skrap logam dan plastik keseluruhannya dianggarkan bernilai RM5.35 juta dalam Op Hazard yang dijalankan di Bukit Selambau dekat sini awal pagi semalam.
Komander Briged Utara PGA SAC Shahrum Hashim berkata pasukan operasi mengesan kegiatan membawa sisa elektronik secara tidak sah di kawasan itu sejak seminggu lepas.
“Tiga lori treler jenis Volvo yang membawa muatan pelbagai sisa elektronik dikesan dalam perjalanan ke sebuah gudang.
“Hasil pemeriksaan terhadap bahagian ekor tiga lori treler itu menemukan 60 beg jumbo sisa elektronik, 20 beg jumbo sisa skrap logam, 19 beg jumbo sisa plastik dan 2 mesin penghancur logam, berat keseluruhannya dianggarkan 99,000 kilogram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrum berkata operasi yang dijalankan antara pukul 1 pagi hingga 6.45 pagi semalam turut melibatkan Cawangan Risik Batalion 18 PGA, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sungai Petani, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Kuala Muda.
“Susulan itu, kami menahan tiga lelaki warga tempatan berusia lingkungan 36 hingga 52 tahun bagi membantu siasatan. Turut dirampas tiga lori treler serta sisa elektronik yang dianggarkan bernilai RM5,347,500," katanya.
Shahrum berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 (1A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Beliau berkata tangkapan dan barangan rampasan diserahkan kepada JAS Sungai Petani untuk siasatan lanjut.
“Briged Utara PGA akan terus mempergiatkan rondaan dan pengawasan di sekitar Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis bagi mengekang aktiviti jenayah pemprosesan sisa elektronik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial