GEORGE TOWN, 31 Okt (Bernama) -- Seorang pegawai jualan di sebuah syarikat swasta di sini, kerugian hampir RM2 juta selepas ditipu sindiket pelaburan dalam talian bagi perkhidmatan mengurus aset dan pelaburan kewangan, baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata kejadian bermula pada pertengahan Ogos lepas apabila wanita berusia 53 tahun itu melihat iklan pelaburan saham menawarkan keuntungan tinggi melalui aplikasi Facebook.
“Selepas itu, mangsa berhubung dengan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan dinamakan ‘Merill’.
“Mangsa yang dijanjikan pulangan keuntungan 150 sehingga 200 peratus dalam tempoh dua minggu dari jumlah modal dilaburkan, berminat untuk menyertai pelaburan itu dan telah diminta memuat turun aplikasi bernama MML Max bagi mendaftar keahlian serta membuat pelaburan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azizee berkata, mangsa kemudian membuat 35 transaksi pemindahan wang ke dalam enam akaun bank milik syarikat berbeza dengan jumlah keseluruhan RM1.974 juta antara 6 Sept hingga 28 Okt lepas.
Beliau berkata mangsa sedar telah diperdaya apabila gagal mengeluarkan keuntungan di dalam aplikasi tersebut, malah diminta untuk membuat pembayaran tambahan.
Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut bagi membolehkan siasatan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter      : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok       : @bernamaofficial