JAKARTA, 31 Okt (Bernama) -- Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Indonesia Prof Brian Yuliarto pada Khamis, bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan tinggi antara kedua-dua negara.
Kunjungan itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Education Malaysia Indonesia (EMI) dalam memperkukuh jaringan pendidikan tinggi serantau serta memantapkan peranan kedua-dua negara sebagai peneraju utama pembangunan modal insan dan inovasi di rantau Asia Tenggara.
EMI, dalam satu kenyataan menjelaskan lima agenda dibincangkan iaitu pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan Indonesia melalui KPT masing-masing bagi kerjasama antara institusi pengajian tinggi dalam bidang mobiliti akademik, penyelidikan bersama, seminar antarabangsa dan pengiktirafan kurikulum.
Agenda lain ialah penubuhan Konsortium Akademik Malaysia-Indonesia (KAMI) sebagai platform strategik bagi memperkukuh kerjasama akademik dalam bidang teknologi hijau, kecerdasan buatan (AI), kesihatan dan tenaga boleh diperbaharui.
“Konsortium itu juga akan memperkasa mobiliti akademik dan pelajar pascasiswazah serta menyokong penubuhan Centre of Excellence (CoE) Serantau Malaysia-Indonesia,” menurut EMI.
Kedua-dua pihak turut meneroka potensi memperluas kerjasama bidang penyelidikan dan inovasi termasuk tenaga nuklear, aeroangkasa, dan AI, selain memperkukuh penyertaan 15 lagi universiti awam Malaysia dalam senarai biasiswa Lembaga Pengelola Dana Pendidikan (LPDP) di bawah Kementerian Kewangan Indonesia.
“EMI mendapati semakin ramai pelajar Indonesia berminat melanjutkan pengajian di Malaysia dan dengan penambahan 15 universiti awam Malaysia dalam senarai LPDP, peluang pendidikan bagi pelajar Indonesia akan lebih luas dan bermanfaat kepada kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Syed Mohamad Hasrin turut mengundang Brian menghadiri Festival of Ideas 2025 di Putrajaya dari 4 hingga 8 Nov, yang akan menghimpunkan pemimpin akademik, penyelidik dan pembuat dasar dari seluruh rantau untuk membincangkan masa depan pendidikan tinggi dan sains.
Brian menyambut baik semua cadangan yang dikemukakan dan menzahirkan harapan agar kerjasama erat Malaysia-Indonesia dalam bidang pendidikan tinggi, sains dan teknologi terus diperkukuh demi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara, menurut EMI.
EMI merupakan unit di bawah KPT Malaysia yang berperanan mempromosi pendidikan tinggi Malaysia di Indonesia serta meningkatkan kerjasama pendidikan antara kedua-dua negara.
Duta Besar diiringi Menteri Kedutaan (Pendidikan) Dr Hasnul Faizal Hushin Amri, Penasihat Pendidikan Shafieza Md Fadzil, Atase Pendidikan Zulfadhli Hamzah dan Aziz Bin Abdullah, Pegawai Pemasaran EMI Riska Astriani Pramita, serta Setiausaha Pertama Kedutaan Gobinath Nadaradjah dalam lawatan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial