IPOH, 6 Nov (Bernama) -- Bahan mineral galian jenis Silico Manganese seberat 700,000 kilogram (kg) dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 juta dirampas dalam satu operasi penguatkuasaan bersepadu Intra Agensi OP Bersepadu Khazanah di sebuah jeti persendirian di Segari, Lumut dekat Manjung hari ini.
Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta SAC Shahrum Hashim berkata operasi pada 11 pagi hingga 6 petang itu mengesan sejumlah besar bahan mineral galian berkenaan yang disimpan di kawasan jeti persendirian Sungai Dindings Enterprise Sdn Bhd, PT 613 Batu 8, Jalan Cempaka Segari, Lumut.
Beliau berkata mineral itu dipercayai telah disimpan selama lebih seminggu dan tidak mendapat kelulusan daripada pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri Perak.
“Hasil pemeriksaan awal di kawasan sekitar jeti telah menjumpai 250 guni jumbo, dengan setiap satunya dipercayai mengandungi 1,000 kg bahan mineral Silico Manganese dengan anggaran berat keseluruhan 250,000 kg yang diletakkan berhampiran jeti.
“Seterusnya, pemeriksaan lanjut dijalankan oleh pasukan serbuan di dalam kawasan gudang di kawasan jeti tersebut dan menjumpai sebanyak 450 guni jumbo lagi yang setiap satunya seberat 1,000 kg dengan jumlah keseluruhan 450,000 kg,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Shahrum berkata hasil siasatan awal mendapati kesemua bahan mineral Silico Manganese itu dibawa masuk dari India dan akan dieksport ke Myanmar bagi kegunaan industri pembuatan besi dengan Malaysia dijadikan hab transit sementara sebelum galian itu diangkat keluar ke Myanmar melalui jalan air.
Beliau berkata seorang lelaki tempatan berumur 45 tahun turut ditahan dalam operasi melibatkan PGA dengan bantuan sepasukan pegawai Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak, JMG Negeri Perak serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Manjung.
“Kes disiasat di bawah Peraturan 6(1)(a) Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Efluen) 2016 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada JMG Negeri Perak untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata rondaan dan pengawasan akan terus dilakukan di sekitar Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis bagi mengekang aktiviti jenayah membabitkan kesalahan di bawah OP Bersepadu Khazanah.
Justeru, katanya masyarakat diseru supaya menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti yang menyalahi undang-undang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial