KOTA KINABALU, 31 Okt (Bernama) -- Sabah telah memformalisasikan pengambilalihan 25 peratus ekuiti dalam PETRONAS PFLNG 3 Sdn Bhd, satu langkah yang memperkukuh lagi sinergi antara syarikat petroleum nasional dan negeri Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata langkah berkenaan bukan sahaja akan memperkukuh sinergi antara PETRONAS dan Sabah, tetapi juga akan membuka potensi bagi kerjasama seumpama itu pada masa hadapan.
“Sabah, melalui SMJ Energy Sdn Bhd (SMJ Energy), telah menandatangani perjanjian muktamad dengan PETRONAS LNG Sdn Bhd, anak syarikat PETRONAS, bagi memformalisasi pengambilalihan 25 peratus kepentingan ekuiti dalam PETRONAS PFLNG 3 Sdn Bhd,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Langkah itu susulan kepada pemeteraian Kepala Perjanjian bagi cadangan pengambilalihan tersebut disaksikan Ketua Menteri dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, di Kuala Lumpur pada 17 Julai tahun ini.
Hajiji berkata PETRONAS PFLNG 3 sedang membangunkan kemudahan gas asli cecair terapung berhampiran pesisir (FLNG) bernilai US$3.1 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
“Dijangka memulakan operasi pada separuh kedua tahun 2027, PFLNG 3 direka dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 2 juta tan setahun (2.0 MTPA).
“Pelaburan strategik ini merupakan tambahan terkini kepada portfolio pelaburan pelbagai SMJ Energy yang sedia ada, dengan syarikat itu kini memegang 50 peratus kepentingan penyertaan dalam Samarang Production Sharing Contract, 10 peratus kepentingan ekuiti dalam PETRONAS LNG 9 Sdn Bhd, 25 peratus kepentingan ekuiti dalam PETRONAS Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd (loji petrokimia SAMUR), serta pemilikan penuh Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP) yang mengendalikan aset FPSO dan FSO,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial