KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengucapkan tahniah kepada Pakar Perubatan Dalaman dan Felow Reumatologi Hospital Putrajaya Dr Azmad Kareem Anwardeen atas kejayaan merangkul tempat pertama Thieves Market Competition di Chicago, Amerika Syarikat baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Dzulkefly berkata pembentangan Dr Azmad Kareem pada pertandingan dalam persidangan berkaitan reumatologi itu menonjol kerana berjaya mengupas kes klinikal yang jarang berlaku, menonjolkan bagaimana kekurangan fungsi imun (bukan imun berlebihan) boleh menyebabkan proses keradangan yang serius, termasuk pengerasan aorta.
“Naratif klinikal yang jelas, penaakulan yang kukuh dan implikasi kes terhadap amalan perubatan menjadikan penyampaian beliau menyerlah berbanding ratusan penyertaan lain,” katanya.
Beliau berharap pencapaian itu terus menyuntik semangat kepada generasi muda doktor Malaysia untuk mengejar kecemerlangan dan mempelopori penyelesaian baharu dalam merawat penyakit autoimun dan muskuloskeletal.
“Syabas dan tahniah, Dr Azmad! Semoga terus menyinar di persada dunia,” katanya.
Semalam, Bernama melaporkan seorang doktor Malaysia mencipta sejarah apabila memenangi tempat pertama Thieves Market Competition dan menerima anugerah tertinggi untuk kesnya bertajuk The Tale of the Silent Guard and the Ceramic Core.
Pembentangan Dr Azmad Kareem pada 26 Okt lepas memikat juri dan penonton dengan gabungan penaakulan klinikal dan naratif yang jelas, menonjolkan bagaimana ketiadaan imuniti turut berbahaya seperti sistem imun yang terlalu aktif.
Hanya empat finalis dipilih untuk pembentangan secara langsung di Thieves Market daripada lebih 200 penyertaan dari seluruh dunia dan kes Dr Azmad Kareem memperoleh 75 peratus undian penonton.
Persidangan American College of Rheumatology (ACR) 2025 itu dihadiri kira-kira 13,000 delegasi dari lebih 100 negara, diiktiraf sebagai pertemuan reumatologi terbesar dan paling berprestij di dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial