WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AHMAD ZAHID HADIR PERASMIAN CIIE DI CHINA

05/11/2025 07:21 PM

Daripada Mohd Hisham Abdul Rafar

SHANGHAI, 5 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menghadiri Majlis Perasmian Ekspo Import Antarabangsa China kelapan (CIIE) 2025 di Pusat Konvensyen dan Pameran Kebangsaan (NECC) Shanghai, atas jemputan Kerajaan Republik Rakyat China.

Menurut kenyataan Pejabat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, penyertaan kali ini menandakan kehadiran pertama beliau ke ekspo berprestij itu serta penyertaan keenam Malaysia di peringkat tertinggi sejak edisi sulungnya pada 2018.

Majlis perasmian itu disempurnakan Perdana Menteri China Li Qiang, yang menzahirkan komitmen kukuh China terhadap kerjasama perdagangan global dan keterbukaan pasaran antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan CIIE sebagai antara pameran ekonomi paling berpengaruh di dunia.

CIIE merupakan inisiatif utama Kerajaan China yang berfungsi sebagai platform penting bagi negara-negara yang menyertai Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), untuk mempromosikan serta mengeksport barangan dan perkhidmatan mereka ke pasaran China.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berada di Shanghai bagi lawatan kerja selama empat hari bermula 4 hingga 7 Nov.

Pada lawatan itu, Ahmad Zahid turut dijadual merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Shanghai 2025 pada 6 Nov, yang berlangsung dari 5 hingga 10 Nov bersempena dengan CIIE.

MIHAS@Shanghai merupakan edisi antarabangsa kedua selepas kejayaan MIHAS@Dubai 2024, sejajar dengan kedudukan CIIE sebagai salah satu platform perdagangan terbesar di dunia.

“China kekal sebagai anatara rakan dagang terpenting Malaysia. Menerusi platform seperti CIIE dan MIHAS@Shanghai, kita bukan sahaja memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, tetapi juga membuka peluang baharu untuk industri halal dan PKS Malaysia menembusi pasaran global bernilai tinggi,” kata Ahmad Zahid.

Lawatan kerja ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuh hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan dengan China, selaras dengan dasar Kerajaan untuk memperluas akses pasaran antarabangsa bagi produk Malaysia, khususnya dalam sektor halal dan pembangunan luar bandar.

--  BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan