WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PROGRAM DI CHINA DIYAKINI BAKAL PEROLEH KEUNTUNGAN UNTUK MALAYSIA - AHMAD ZAHID

05/11/2025 07:28 PM

Daripada Mohd Hisham Abdul Rafar

SHANGHAI, 5 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi optimis tiga program yang dihadiri pada hari kedua lawatan kerja di China hari ini, akan menguntungkan negara serta rakyat.

Beliau berkata program hari ini iaitu menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) kelapan yang disempurnakan Perdana Menteri China Li Qiang, akan membolehkan produk dari Malaysia terus menembusi pasaran global.

Selain itu, beliau juga menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MARA (Majlis Amanah Rakyat) dan Universiti Shanghai Jiao Tong (SJTU), serta merasmikan Pusat Informasi CIDBH, yang pertama di luar Malaysia.

“Ketiga-tiga program hari ini merpakan satu pencetus perubahanyang pada saya sangat memihak kepada Malaysia dan kita mengharapkan keberuntungan diperolehi Malaysia terutamanya dalam pemindahan ilmu dan pemindahan teknologi daripada universiti yang jalin kerjasama dengan MARA,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia selepas merasmikan Pusat Informasi CIDBH, sebuah pusat dengan kerjasama Menara Asia Sdn Bhd, yang menawarkan urusan piawaian bagi bahan binaan kepada syarikat dan kontraktor, dan turut dihadiri Pengerusi CIDB Datuk Yusof Abd Wahab dan Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Mengenai aspek pendidikan, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata setakat ini 5,841 pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di China, selain menegaskan kerjasama yang dijalinkan MARA dengan SJTU, akan memanfaatkan anak tempatan dalam menimba ilmu dalam bidang yang tidak ditawarkan di Malaysia.

Sementara itu, Asyraf Wajdi ketika mengulas mengenai MoU berkenaan berkata kerjasama itu, akan membolehkan lebih ramai anak Malaysia mengikuti program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berteknologi tinggi, dengan kolaborasi melibatkan penyelidikan dan pertukaran pelajar.

Beliau berkata pengurusan MARA juga telah diminta untuk memperincikan mengenai MoU yang mengandungi pertukaran pensyarah untuk berkolaborasi dalam penyelidikan.

“Ada bidang-bidang yang sedang difokuskan, seperti bidang dron yang ingin kita bangunkan di UniKL, bidang IOT (Internet benda) di Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan AI (kecerdasan buatan) yang sedang dibangunkan program terbaharu di UniKL.

“Semua ini kursus baharu dan sudah tentu kita perlukan tenaga pensyarah dengan mengadakan program bersifat peningkatan kemahiran di samping mengadakan kerjasama sama dalam penyelidikan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan