WILAYAH - SARAWAK > BERITA

"STARTUP ASEAN" PACU INOVASI SERANTAU, HUBUNGKAN 8,600 PEMULA NIAGA

05/11/2025 06:50 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Platform “Startup ASEAN” menjadi pemangkin utama bagi ekosistem inovasi ASEAN dengan menghubungkan lebih 8,600 pemula niaga (startup) dan lebih 1,700 pelabur dari seluruh rantau ini sejak ia diperkenalkan tahun lepas.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata Inisiatif Pemula Niaga ASEAN yang diperkenalkan oleh Malaysia pada tahun lepas adalah berdasarkan keyakinan yang kukuh bahawa perpaduan dan inovasi merupakan dua kekuatan yang mampu merapatkan hubungan negara ASEAN.

Beliau berkata sejak dari awal, misi inisiatif itu adalah untuk memperkukuh kerjasama, membina kapasiti dan mewujudkan peluang yang melangkaui sempadan bagi mencapai pertumbuhan serantau. 

“Perjalanan Startup ASEAN bukan hanya mengenai teknologi atau keusahawanan tetapi juga tentang insan. Ia melibatkan usaha memperkasa setiap pengasas serta mereka yang membina impian dan inovasi di seluruh rantau ini dengan harapan untuk mewujudkan perubahan dan memberi impak berkekalan bagi kehidupan. 

“Malaysia komited bukan sahaja sebagai penyumbang tetapi juga penghubung kepada ekosistem, berkongsi kepakaran dan menjadi 'jambatan’ antara usahawan, pelabur serta penggubal dasar,” katanya berucap pada majlis penutup Sidang Kemuncak LIVE! Startup ASEAN 2025 di sini hari ini. 

Turut hadir Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Group Norman Matthieu Vanhaecke.

Chang berkata inisiatif itu menuntut pendekatan menyeluruh kerajaan dan masyarakat, dengan penggubal dasar, pemimpin industri, ahli akademik dan komuniti berganding bahu membina rantau yang lebih terhubung dan berdaya tahan. 

Beliau berkata Startup ASEAN mencerminkan visi ASEAN yang saling bekerjasama, bersatu dan bersedia untuk masa depan serta dipacu oleh inovasi. 

“Di seluruh ASEAN, kita telah menyaksikan kemunculan pelbagai syarikat pemula niaga dan inovatif hasil daripada kerjasama dalam kalangan pengasas dari seluruh rantau ini, antaranya ‘Funding Societies’ sebuah platform pinjaman digital bagi PKS (perusahaan kecil dan sederhana) diasaskan oleh rakyat Malaysia dan Indonesia. 

“Selain itu, Carro sebuah pasaran dalam talian bagi kereta terpakai yang diasaskan oleh rakyat Singapura, Thailand dan Indonesia,” katanya. 

Menjelang 2026, Chang berkata fokus utama kementeriannya adalah untuk memperkukuh kerjasama dalam dasar inovasi, pelaburan dan mobiliti bakat bagi memastikan tiada negara, pemula niaga mahupun inovator yang ketinggalan. 

Beliau berkata Malaysia, melalui MOSTI dan Cradle akan terus menjalin kerjasama rapat dengan rakan sejawat ASEAN, rakan ekosistem dan sektor swasta bagi memastikan Startup ASEAN terus berkembang sebagai gerakan serantau yang mampan dan berimpak tinggi. 

“Aspirasi bersama kita jelas iaitu untuk meletakkan ASEAN sebagai antara ekosistem pemula niaga terkemuka dunia dan membina sebuah rantau yang diiktiraf bukan sahaja kerana potensi pasaran tetapi juga kerana kebijaksanaan, kreativiti dan daya tahan,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan