GEORGE TOWN, 6 Nov (Bernama) -- Kejadian lubang benam yang terbentuk di Jalan Dato Ismail Hashim, Bayan Lepas, dekat sini pada Selasa lepas dipercayai berpunca daripada paip bocor yang terdapat di bawah tanah di kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata setakat ini, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti sama ada paip yang bocor itu milik Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) atau Indah Water Konsortium (IWK).
"Hasil kerja pengorekan di tapak mendapati terdapat aliran air bawah tanah yang dipercayai menjadi punca mendapan jalan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memaklumkan perkara ini kepada PBAPP dan IWK untuk siasatan lanjut dengan kerja pengorekan diteruskan untuk mengenal pasti lokasi sebenar kebocoran paip.
"PBAPP juga akan menjalankan ujian untuk mengesan punca kebocoran dengan lebih tepat, manakala IWK akan melaksanakan kerja-kerja pengukuhan saliran paip yang terdapat kira-kira 21 kaki di bawah tanah di kawasan tersebut," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi lubang benam itu yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas Datuk Azrul Mahathir Aziz.
Bagi memastikan keselamatan orang ramai, Zairil berkata Jalan Kenari telah ditutup sepenuhnya dari persimpangan Jalan Datuk Ismail Hashim dan pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Sungai Ara 1, Jalan Persiaran Relau atau Jalan Kedidi.
Mengulas lanjut, beliau berkata pemeriksaan tanah dan pemantauan berterusan sedang dijalankan bagi memastikan kawasan berhampiran lubang benam itu selamat serta tidak berlaku retakan atau mendapan tanah.
"Ketika ini di kawasan lubang benam itu tiada takungan atau pergerakan air, namun kami tidak menolak kemungkinan terdapat pergerakan air di bawah tanah berikutan kebocoran paip yang masih berlaku di situ.
"Kita tak nak tampung tanah (di lubang benam) dan berlaku lagi pergerakan air serta tanah di bawah sehingga boleh menyebabkan lubang benam terjadi semula," katanya.
Zairil berkata pihak IWK sedang menjalankan pemeriksaan menyeluruh di semua paip milik syarikat utiliti itu di Pulau Pinang bagi memastikan sistem itu selamat dan dalam perancangan untuk menukar paip berkenaan, khsususnya di kawasan George Town yang telah berusia lebih 50 tahun.
Sementara itu, beliau menafikan dakwaan kononnya kejadian lubang benam itu disebabkan pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara Line di Pulau Pinang kerana projek berkenaan tidak melibatkan kawasan yang terjejas.
"Tiada kaitan dengan projek LRT, masalah ini dah berlarutan bertahun-tahun, bukan masalah baharu, (tetapi) masalah paip yang uzur, penyelesaiannya cuma penggantian, namun perkara itu mengambil masa dan melibatkan kos yang tinggi," katanya.
Lubang benam yang terbentuk di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ara itu berukuran 5 meter (m) panjang dan 3.5 m lebar serta berdiameter 1.9 m.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial