KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Kerja pembaikan permukaan jalan yang terjejas akibat insiden mendapan berhampiran kawasan Masjid India di sini selesai pada 6 petang tadi.
Sehubungan dengan itu, Jalan Masjid India yang ditutup pagi tadi sebagai langkah keselamatan telah dibuka semula kepada laluan awam.
Menurut kenyataan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), siasatan mendapati mendapan berlaku secara setempat yang menandakan terdapat gangguan pada kestabilan struktur turapan di kawasan berkenaan.
"DBKL akan meneruskan pemantauan rapi serta melaksanakan pemeriksaan dan pengimbasan lanjut di lokasi dan kawasan sekitar,” menurut kenyataan itu, malam ini.
DBKL menegaskan keselamatan orang awam menjadi keutamaan, dan merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas kerjasama serta pematuhan arahan keselamatan sepanjang kerja pemulihan dijalankan.
Terdahulu, DBKL memaklumkan terdapat kejadian mendapan berlaku di Jalan Bonus, berhadapan premis Bombay Jewellery pada 8.39 pagi tadi.
Susulan itu, pasukan DBKL, Air Selangor, Indah Water Konsortium (IWK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan awal dan menilai tahap risiko struktur di kawasan berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial