WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PUSAT SEHENTI MM2H DI TRX PERKUKUH DAYA TARIKAN MALAYSIA

12/11/2025 06:23 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Pusat sehenti pertama program Malaysia My Second Home (MM2H) yang diurus sepenuhnya oleh sektor swasta dilancarkan di The Exchange 106, TRX, di sini semalam, mencerminkan keyakinan berterusan terhadap prospek ekonomi dan daya saing Malaysia di peringkat global.

Syarikat pengendali STF Revenue (MM2H) Sdn Bhd memaklumkan majlis pelancaran disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Beliau berkata usaha menarik warga asing berkualiti menetap di Malaysia bukan sahaja mengukuhkan sektor pelancongan malah membawa limpahan ekonomi yang meluas kepada negara.

“Di bawah seliaan MOTAC, program MM2H terus memainkan peranan penting dalam menarik kedatangan ekspatriat dan pelabur asing yang ingin membina kehidupan serta peluang di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehingga Julai 2025, MOTAC merekodkan lebih 3,300 permohonan baharu bagi program MM2H, membabitkan anggaran RM300 juta dana asing serta pelaburan hartanah melebihi RM430 juta, mencerminkan keyakinan antarabangsa dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk menetap dan melabur.

Sementara itu, Pengarah Operasi Antarabangsa STF Revenue Jonathan Low Choon Wai berkata pusat sehenti di TRX diwujudkan bagi memudahkan proses dan memberikan pengalaman yang selesa dan cekap kepada peserta program MM2H.

“Kami mahu menjadikan pengalaman hidup di Malaysia sesuatu yang mudah, selesa dan menarik untuk pelabur, pesara dan profesional antarabangsa. Kehadiran kami di sini mencerminkan keyakinan terhadap negara sebagai hab gaya hidup dan pelaburan serantau,” katanya.

Majlis pelancaran tersebut turut menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama strategik antara STF Revenue dan Rivertree Group, yang masing-masing diwakili oleh Datuk Wira Joey Yan dan Datuk Simon David Leong.

Menurut kenyataan itu, kerjasama berkenaan bagi menarik minat pembeli antarabangsa untuk melabur dalam hartanah tempatan dengan sokongan visa dan penempatan jangka panjang.

“Kami ingin memastikan apabila seseorang memilih Malaysia, mereka bukan hanya membeli rumah atau mendapatkan visa, tetapi membina kehidupan di sini,” kata Leong.

Bagi memperkukuh ekosistem pelancongan dan pelaburan, STF turut bekerjasama dengan Batik Air yang menawarkan tiket penerbangan pergi balik percuma hingga RM5,000 kepada pemohon MM2H yang layak di bawah program Batik x STF.

Menurut kenyataan itu, STF turut bekerjasama dengan bank tempatan bagi menyediakan khidmat pembukaan akaun deposit tetap dan nasihat kewangan untuk pemohon MM2H baharu.

STF Revenue (MM2H) merupakan anak syarikat STF Group yang ditubuhkan pada 2016 dan kini mengurus pelbagai operasi termasuk pengurusan tenaga kerja, pengendalian asrama pekerja, perkhidmatan kebersihan serta sistem pengurusan berasaskan teknologi.

Kumpulan itu turut meluaskan portfolio dalam sektor pelancongan jangka panjang menerusi lesen rasmi bagi program MM2H dan Premium Visa Programme (PVIP), selain menawarkan perkhidmatan pengurusan pembantu rumah.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan