KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Rundingan berhubung isu 40 peratus hasil Sabah akan dimulakan segera di peringkat teknikal dan boleh diteruskan walaupun dalam tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 berlangsung, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata proses rundingan itu tidak akan terjejas walaupun pentadbiran kerajaan negeri kini dijalankan oleh kerajaan sementara susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 6 Okt lepas untuk memberi laluan kepada PRN.
Sehubungan itu, beliau berkata Ketua Setiausaha Perbendaharaan telah menghantar surat kepada pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sabah bagi memulakan sesi rundingan tersebut.
“Memang betul bahawa kerajaan sekarang ini kerajaan sementara tetapi kita tidak mahu dianggap melengah-lengahkan dan prosesnya (memulakan rundingan) telah berjalan.
“Sekarang, sekurang-kurangnya Ketua Setiausaha Perbendaharaan menulis kepada SUK Sabah mengatakan boleh mula berunding soal-soal teknikal termasuk apa yang ditulis dalam penghakiman.
“Kemudian dalam Jawatankuasa Teknikal tentunya dibincangkan bahawa untuk rujuk kepada Menteri Kewangan, Ketua Menteri dan Jemaah Menteri dan tentunya tunggu sehingga selesai PRN dan kerajaan baharu dibentuk,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang ingin tahu dengan siapa Kerajaan Persekutuan berunding memandangkan Sabah kini dalam proses pilihan raya, dan sama ada hasil rundingan itu akan diputuskan melalui platform mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan perlu sentiasa dipelihara demi memastikan semua isu yang timbul, termasuk tuntutan hasil, dapat diselesaikan secara rasional serta berhemah.
“Tanggungjawab kita sebagai sebuah negara adalah menjaga hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan. Kalau ada kegelisahan yang munasabah, kita harus dengar dan cuba selesaikan.
“Ada pihak yang lebih rasional dan sedia mengatur rundingan, sebab itu... rundingan boleh diadakan bila hubungan itu baik... jika kerajaan negeri ambil sikap yang lebih positif, rundingan itu lebih baik dan lebih cepat,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak agar mengekalkan semangat kesatuan dan perpaduan, serta tidak meniup sentimen perkauman sempit dengan isu yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
“Saya harap semangat kesatuan dan perpaduan ini dijaga kerana kalau kita tiupkan isu menghasut, isu perkauman sempit ini, ia hanya akan merugikan... yang untung hanya kepala-kepala di atas, rakyat bertempur tanpa air, tanpa elektrik dan jalan berlubang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial