WILAYAH - TENGAH > BERITA

ASGG GLUTA GENC GLOW GUMMIES DILARANG JUALAN, DIKESAN MENGANDUNGI GLUTATHIONE

16/11/2025 11:18 AM

PUTRAJAYA, 16 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan larangan penjualan dan pengiklanan produk makanan ASGG Gluta Genc Glow Gummies selepas ia dikesan tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan produk itu dikesan mengandungi bahan aktif Glutathione, yang tidak tersenarai di bawah Daftar 1, Jadual Ke-12, Peraturan 26, Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985.

“Bahan ini tidak dibenarkan digunakan sebagai ramuan dalam makanan,” menurut kenyataan itu.

Hasil semakan KKM mendapati produk tersebut dipasarkan melalui beberapa platform e-dagang termasuk Shopee, Lazada dan TikTok.

“Sehingga 10 Nov 2025, sebanyak 121 permohonan sekatan pengiklanan terhadap produk berkenaan telah dikemukakan kepada pihak penyedia platform e-dagang yang terlibat,” menurut kenyataan KKM.

KKM menegaskan bahawa di bawah Seksyen 13B(2)(d), Akta Makanan 1983, makanan tidak dibenarkan diadunkan dengan bahan yang penambahannya tidak dibenarkan oleh akta atau mana-mana peraturan di bawahnya.

Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

KKM menasihatkan semua peniaga termasuk peniaga dalam talian yang masih mempunyai stok produk tersebut agar menghentikan serta-merta penjualan semua produk tersebut dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan. 

“Selain itu, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan tersebut,” menurut KKM.

KKM turut mengingatkan orang ramai yang sedang menggunakan produk itu agar menghentikan penggunaan serta-merta dan mendapatkan nasihat serta rawatan daripada ahli profesional kesihatan. 

“Orang ramai diingatkan agar sentiasa bijak dan berhati-hati dalam membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan yang tidak dibenarkan,” menurut kementerian itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan