SANDAKAN, 16 Nov (Bernama) -- Isu bekalan air dan kebersihan Kampung Melayu Bumiputera Sim Sim antara fokus utama calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Papat Tang Szu Ching pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Tang, 29, yang mewakili DAP berkata beliau akan memberi perhatian kepada masalah sampah dan ketiadaan sistem pembentungan di perkampungan atas air itu bagi menjamin kesejahteraan penduduk.
“Meskipun inisiatif telah diambil dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memasang perangkap sampah namun pendekatan itu tidak mampan dan mudah dihanyutkan arus.
“Kita memerlukan langkah lebih proaktif bagi menangani isu ini termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk melaksanakan program kutipan sampah yang menjana pendapatan seperti trash to cash yang turut melibatkan komuniti setempat,” katanya kepada Bernama.
Mengenai ikhtiar bagi menggalakkan penyertaan belia dalam perniagaan terutama di pasar-pasar awam, beliau berkata perkara itu akan turut diberi perhatian, malah dasar baharu Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) menyaksikan 30 peratus kuota berniaga di pasar kini diberi kepada peniaga baharu khususnya golongan belia.
Tang yang juga Ahli MPS berkata beliau juga akan membawa suara golongan belia ke dalam persidangan DUN Sabah sekiranya diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat kawasan ini.
Mengenai isu gangguan bekalan air, beliau berkata pemimpin DAP telah menyediakan 32 tangki air di setiap jambatan utama di Kampung Melayu Bumiputera Sim Sim sebagai langkah penyelesaian jangka pendek bagi menangani gangguan bekalan air di Tanjong Papat.
Tang berkata pada masa ini, beliau bersama Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong sedang bertungkus lumus mengagihkan bekalan air di kawasan berkenaan sejak minggu lepas susulan gangguan bekalan air yang berlaku.
“Sejak insiden air masin yang masuk ke Loji Rawatan Air (LRA) Segaliud, kebanyakan paip mula berkarat dan tersumbat sehingga menyebabkan tekanan air menjadi perlahan dan seterusnya menjejaskan agihan air ke kawasan perkampungan.
“Justeru, usaha perlu diambil bagi menggantikan paip-paip yang usang di seluruh Sandakan secara berperingkat bagi mengurangkan gangguan bekalan air,” katanya.
Tang berkata dengan pengalaman kerja sejak 2019, beliau yakin rakyat di Tanjong Papat akan memberi sokongan kepadanya untuk terus membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial