WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRN SABAH: GRS LANCAR MANIFESTO PETANG INI

17/11/2025 08:13 AM

KOTA KINABALU, 17 Nov (Bernama) -- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, petang ini.

Pelancaran itu menjadikan GRS antara parti terawal berbuat demikian selepas Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) melancarkan manifestonya pada 13 Nov lepas.

Berdasarkan jemputan media, pelancaran akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini bermula 2 petang. 

Manifesto berkenaan akan dibentangkan Timbalan Setiausaha Agung GRS yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Ali.

Selepas pembentangan, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS akan melancarkan manifesto itu.

GRS yang ditubuhkan hampir empat tahun lepas terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

Pada pilihan raya negeri kali ini, GRS yang bertanding di 55 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mengangkat slogan ‘Rumah Kita. Kita Jaga’.

Armizan sebelum ini berkata manifesto GRS bagi PRN Sabah ke-17, tidak hanya membawa tawaran baharu, malah turut menampilkan rekod cemerlang pentadbiran kerajaan negeri sejak 2020.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 dan tarikh pengundian awal 25 Nov.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan