WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LAWATAN PM ANWAR KE TIGA NEGARA AFRIKA FOKUS KERJASAMA EKONOMI, PELABURAN

17/11/2025 06:00 PM

PUTRAJAYA, 17 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual memulakan lawatan penting ke tiga negara di benua Afrika iaitu Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya bermula 18 hingga 24 November untuk memacu hubungan ekonomi serta membuka ruang pelaburan baharu Malaysia di benua itu.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata lawatan menggunakan penerbangan sewaan khas Malaysia Airlines itu turut disertai delegasi rasmi kerajaan serta rombongan perniagaan bagi mengukuhkan kerjasama ekonomi dengan pasaran utama Afrika.

“Ketiga-tiga pasaran ini menawarkan peluang kerjasama yang luas sejajar dengan hasrat Kerajaan MADANI sendiri untuk mempelbagaikan pasaran dan mengukuhkan kedudukan Malaysia di arena antarabangsa,” katanya dalam sesi taklimat bersama media di sini hari ini.

Menurut Tunku Nashrul, lawatan rasmi Anwar yang juga Menteri Kewangan akan bermula di Addis Ababa, Ethiopia dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Taye Atske Selassie dan kedua-dua pemimpin akan menyertai Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Malaysia-Ethiopia untuk meneroka peluang perdagangan dan pelaburan.

“Kemudian tumpuan akan diberikan kepada pertemuan bersama Perdana Menteri Ethiopia Dr Abiy Ahmed Ali di mana perbincangan dua hala akan menata agenda kerjasama strategik disusuli dengan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU),” katanya.

Anwar turut dijadual mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika Mahmoud Ali Youssouf dan menyampaikan syarahan umum kepada belia Afrika yang dianjurkan bersama rakan-rakan strategik belia, sebagai platform memperkukuh hubungan belia Afrika-Asia.

Tunku Nashrul berkata dari Addis Ababa, Perdana Menteri akan meneruskan lawatan kerja ke Johannesburg dari 20 hingga 23 November bagi menyertai Sidang Kemuncak Pemimpin G20 2025.

Menurutnya kehadiran Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 akan merangkul suara 650 juta rakyat ASEAN dan mewakili aspirasi rantau Asia Tenggara dalam isu-isu berkepentingan.

“Di samping Persidangan G20 dan pertemuan bersama Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, Perdana Menteri juga dijadualkan menghadiri forum perniagaan bersama pemain industri Afrika Selatan serta berdialog bersama pemimpin komuniti Islam setempat dan menyantuni warga Malaysia di Afrika Selatan,” kata Tunku Nashrul.

Pada 23 hingga 24 November pula, Anwar akan mengadakan lawatan rasmi ke Kenya dan dijadualkan mengadakan pertemuan empat mata dan mesyuarat dua hala bersama Presiden Kenya William Samoei Ruto dan menyaksikan pertukaran MoU.

Perdana Menteri akan turut menyampaikan ucap tama di Malaysia-Africa Higher Education Forum (MAHEF 2025), menghadiri Forum Perniagaan Malaysia-Kenya dan beramah mesra bersama diaspora Malaysia.

“Insya-Allah, usai lawatan di ketiga-tiga negara tersebut, Perdana Menteri dan delegasi akan berangkat pulang dan tiba di Kuala Lumpur pada 25 November.

“Kerajaan MADANI menaruh harapan tinggi agar rangkaian pertemuan di Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya ini akan memperkasakan persahabatan, memacu perdagangan dan membuka limpahan peluang baharu demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Perdana Menteri turut memohon doa dan sokongan padu rakyat Malaysia agar setiap rundingan dan perjumpaan dipermudah dan setiap hasilnya kelak benar-benar membawa manfaat yang mampu dirasai semua lapisan masyarakat,” kata Tunku Nashrul.

Ketika ditanya mengenai penglibatan delegasi perniagaan dalam siri lawatan itu, Tunku Nashrul menjelaskan kerajaan mengamalkan diplomasi ekonomi langsung iaitu rundingan kerajaan dengan kerajaan disertai terus oleh pemain industri.

Katanya kehadiran delegasi perniagaan itu juga membolehkan padanan segera antara keperluan pasaran tempatan di Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya dengan kepakaran syarikat Malaysia sama ada untuk menembusi pasaran baharu mahupun memperluas operasi yang sudah sedia ada.

“Saya ingin menambah di sini bahawa pengurusan syarikat ini dipilih sendiri oleh MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) selaku kementerian yang bertanggungjawab dalam hal-hal pelaburan, perdagangan dan industri setelah mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri sendiri,” katanya.

“Ini juga merupakan amalan sedia ada di mana menerusi penglibatan MATRADE (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) yang menjadi pemudah cara bagi pemain industri dan syarikat Malaysia dan syarikat luar negara itu sendiri untuk membuat pelaburan atau usaha sama perniagaan menerusi forum perniagaan bersama pemimpin industri negara yang dilawati,” katanya.

Pada 2024, Ethiopia merupakan rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di Afrika dengan jumlah perdagangan RM626 juta, melibatkan eksport sebanyak RM580.3 juta dan import RM45.7 juta.

Bagi tempoh yang sama, Afrika Selatan kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di benua itu, dengan nilai perdagangan RM7.1 bilion. Afrika Selatan adalah destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import ketiga terbesar Malaysia di Afrika.

Kenya pula muncul sebagai rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan RM5.7 bilion pada 2024, meningkat 1.2 peratus berbanding RM5.51 bilion pada 2023.

Tunku Nashrul berkata langkah tersebut juga akan memudahkan penyelarasan pergerakan antara delegasi kerajaan dan perniagaan di ketiga-tiga negara itu.

“Ini memudahkan kita untuk membuat perancangan di ketiga-tiga lokasi dan menjamin kehadiran yang tepat untuk dalam semua mesyuarat dan libat urus yang akan diadakan,” katanya.

Beliau juga menegaskan kos penglibatan delegasi perniagaan tidak akan ditanggung kerajaan, sebaliknya akan dibayar sendiri oleh syarikat-syarikat yang terlibat.

“Kerajaan menanggung sepenuhnya kos delegasi rasmi kerajaan dan delegasi perniagaan pula menanggung sendiri kos mereka,” katanya.

Perdana Menteri akan mengadakan lawatan rasmi ke Ethiopia pada 18 hingga 20 Nov, diikuti lawatan kerja ke Afrika Selatan untuk menyertai Sidang Kemuncak Pemimpin G20 sebagai pengerusi ASEAN pada 20 hingga 23 Nov.

Beliau kemudiannya akan mengadakan lawatan rasmi ke Kenya pada 23 hingga 24 Nov sebelum dijangka tiba di tanah air pada 25 Nov. 

Delegasi tersebut akan disertai syarikat yang dipilih Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri bagi meneroka peluang baharu dan memperluas pasaran antaranya Khazanah Nasional Bhd, Tenaga Nasional Bhd dan DRB-HICOM Bhd.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan