WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERKEMBANGAN PELAKSANAAN MLFF, PENUBUHAN MTSB ANTARA TUMPUAN DEWAN RAKYAT HARI INI

17/11/2025 08:15 AM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Perkembangan pelaksanaan sistem kutipan tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF), penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) dan usaha mengekalkan keamanan negara antara yang akan dibincangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) pada sesi soal jawab lisan meminta Menteri Kerja Raya menyatakan parameter penilaian pelaksanaan ujian rintis teknologi pengecaman nombor plat automatik (ANPR) serta perkembangan penggunaan aplikasi JustGo di lebuh raya bertol.

Beliau juga mahu tahu mengenai piawaian metrik untuk menilai kebolehpercayaan masa dalam pelaksanaan sistem MLFF.

Pada sesi sama, Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) pula bertanya kepada Menteri Pengangkutan mengenai apakah kekangan terhadap penubuhan MTSB yang sudah dicadangkan sejak hampir 11 tahun lepas sebagai antara usaha memperkukuhkan aspek keselamatan dalam sektor pengangkutan.

Sementara itu, Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mahu Menteri Dalam Negeri menyatakan strategi kerajaan dalam menjamin keamanan negara, khususnya mengelakkan rusuhan awam seperti di Indonesia dan Nepal yang berpunca daripada tekanan kos sara hidup, ketidakpuasan terhadap dasar kerajaan, isu sosial serta politik.

Turut tersenarai soalan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) kepada Menteri Kesihatan mengenai rancangan memperluas bantuan makanan sihat kepada kanak-kanak tiga tahun dan ke bawah, memandangkan kos pelaksanaannya adalah lebih rendah berbanding kos rawatan jangka panjang akibat komplikasi malnutrisi dan bantut.

Usai sesi soal jawab, mesyuarat Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari hingga 4 Dis ini. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan