WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TIGA AKTA DIPINDA TAHUN DEPAN BAGI PELAKSANAAN SISTEM KUTIPAN TOL MLFF

17/11/2025 11:45 AM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Sebanyak tiga undang-undang iaitu Akta Jalan Persekutuan 1959, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Lembaga Lebuhraya Malaysia (Perbadanan) 1980 akan dipinda tahun depan bagi membolehkan pelaksanaan sistem kutipan tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) di negara ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata pindaan itu antara lain melibatkan peruntukan kesalahan tidak membayar tol dan pelaksanaan penguatkuasaan berkaitan sistem kutipan berkenaan.

“Maklumlah, (MLFF) ini palang tol dah tak ada, mereka (pemandu) lalu sahaja nanti, akhirnya mereka tak bayar dan sebagainya, itu sebab perlu ada (perundangan) dan mengenai siapa nak melaksanakan kuat kuasa itu.

“Ketika ini, kemungkinan besar Lembaga Lebuhraya Malaysia yang akan melaksanakan daripada aspek penguatkuasaan itu,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai garis masa pelaksanaan sistem MLFF di semua lebuh raya dikendalikan oleh 33 pemegang konsesi di seluruh negara.

Ahmad berkata pindaan yang perlu dilakukan terhadap ketiga-tiga akta merupakan antara faktor yang menyebabkan berlaku kelewatan kepada pelaksanaan MLFF di negara ini.

Menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) mengenai kos pelaksanaan MLFF terhadap kerajaan yang didakwa mencecah RM3 bilion, beliau berkata pelaksanaan sistem itu kini dilakukan sepenuhnya oleh pihak konsesi.

“Bila sudah dilakukan sepenuhnya oleh (pihak) konsesi secara Perniagaan kepada Perniagaan (B2B), ia tidak melibatkan sebarang kos kepada kerajaan, jadi tiada lagi melibatkan kos-kos termasuk RM3 bilion itu.

“Pelaksanaan MLFF ini juga kita pastikan pengguna tidak ada dikenakan cas tambahan kerana MLFF ini dibuat pun bagi kepentingan pengguna kerana kita tidak mahu pengguna jalan jauh-jauh dah elok di lebuh raya tiba-tiba sesak berjam-jam di plaza tol,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan