WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LELAKI INDONESIA DIPENJARA TIGA TAHUN MILIKI WANG KERTAS PALSU

17/11/2025 04:26 PM

KUCHING, 17 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki wang kertas palsu berjumlah RM138,920, bulan lepas.

Hakim Musli Abdul Hamid menjatuhi hukuman itu selepas Hendra, 32, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya. 

Hendra dituduh memiliki 1,200 keping wang palsu RM100, 240 keping RM50, 296 keping RM20 dan 100 keping RM10 dengan niat menggunakan wang berkenaan sebagai tulen di satu lokasi di Jalan Tebedu-Serian, Serian kira-kira 4.45 petang, 8 Okt lepas.

Kesalahan di bawah Seksyen 489C Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Asmawi Nur Haqim Mokhtar manakala Hendra tidak diwakili peguam dan mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula hari ini.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am Batalion 23 menahan dua lelaki warga asing yang menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan di bahu jalan dan dipercayai baru sahaja memasuki Sarawak melalui sempadan Tebedu-Entikong.

Setelah disoal siasat, mereka memandu arah pasukan keselamatan kepada seorang lagi individu yang dikenali sebagai Hendra tidak jauh dari lokasi pertama yang membawa kepada penemuan wang kertas palsu berkenaan.

Seorang wanita turut ditahan berhubung kes berkenaan dan hasil siasatan mendapati terdapat wang palsu pelbagai nilai berjumlah RM138,920 dalam milikan mereka menjadikan empat suspek ditahan berkaitan kes itu.

Pada 15 Okt lepas, seorang lelaki dan wanita warga Indonesia, Wawan Riduanto, 31, dan Emi Diansari, 37, dijatuhi hukuman penjara dua tahun atas kesalahan yang sama di mahkamah sama.

Seorang lagi tertuduh yang merupakan warga tempatan Abang Mohammad Firdaus Abang Abdul Malek, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Abang Mohammad Firdaus yang bekerja sebagai penghantar barang dibenarkan diikat jamin RM20,000.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan