WILAYAH - TENGAH > BERITA

KEDUTAAN CHINA SUMBANG RM100,000 KEPADA TABUNG MUSA'ADAH JAWI

18/11/2025 05:53 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Kedutaan China hari ini menyumbang RM100,000 kepada Tabung Musa’adah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menjadikan jumlah keseluruhan bantuan yang disalurkan sejak 2020 mencecah kepada RM800,000.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menerusi hantaran di aplikasi X berkata sumbangan berterusan itu menunjukkan bahawa kemanusiaan tidak mengenal sempadan.

“Sejak 2020, Kedutaan China telah bersama-sama kita menghulur tangan kepada kelompok asnaf, ibu tunggal, OKU, gelandangan dan keluarga B40. Hari ini, mereka sekali lagi menyampaikan sumbangan RM100,000 kepada Tabung Musa’adah JAWI.

“Setiap ringgit bukan sekadar angka. Ia adalah beras di dapur ibu tunggal, susu anak kecil yang menunggu di rumah, sedikit nafas buat mereka yang diuji banjir, dan harapan yang kembali bernyawa,” katanya dalam hantaran itu.

Beliau sebelum itu turut menerima kunjungan hormat ringkas Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing, di sini hari ini dan menyifatkannya bukan sekadar lawatan hormat, tetapi sebuah kisah persahabatan dua negara yang diterjemahkan melalui kepedulian terhadap insan yang memerlukan.

Penghargaan turut dirakamkan kepada Ouyang Yujing dan pasukan Kedutaan China atas keprihatinan yang konsisten dan berharap kerjasama berkenaan terus subur, bukan sahaja antara kerajaan, tetapi antara hati ke hati sebagai sahabat kemanusiaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan