WILAYAH - SARAWAK > BERITA

WM SENIBONG KUMPUL RM100,000 UNTUK SOKONG AUTISME DI JOHOR MELALUI WALKATHON CHARITY

18/11/2025 10:00 PM

JOHOR BAHRU, 18 Nov (Bernama) – WM Senibong berjaya mengumpul RM100,000 melalui Walk for Hope Charity Walkathon, sebuah inisiatif bertujuan menyokong individu dengan autisme serta meningkatkan kesedaran orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya CK Quay, berkata inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen syarikat untuk memupuk masyarakat yang lebih inklusif.

“Setiap individu berhak untuk bersinar mengikut cara mereka sendiri. Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat menyatukan masyarakat, meningkatkan kesedaran, dan mempromosikan masyarakat di mana setiap individu dihargai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dana yang dikumpul akan membantu Hope Garden Foundation dalam mengekalkan program pendidikan dan penjagaan untuk individu, khususnya kanak-kanak, dengan autisme, tambah beliau.

Beliau juga berharap inisiatif ini dapat terus menanam rasa empati dan kefahaman dalam masyarakat serta mendorong sokongan lebih besar terhadap individu dengan autisme.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat, setakat 31 Disember 2024, seramai 58,708 kanak-kanak autisme telah berdaftar di seluruh negara, dengan Selangor mencatat jumlah tertinggi iaitu 12,905 kes, diikuti Johor sebanyak 6,879 kes.

Acara yang berlangsung di Emerald 3, Crest@Austin di sini semalam, menarik lebih 1,000 peserta termasuk keluarga, rakan dan penyokong yang berjalan bagi menunjukkan solidariti, meningkatkan kefahaman dan inklusi untuk individu dalam spektrum autisme.

Kanak-kanak dari Hope Garden turut hadir bersama tetamu istimewa, termasuk Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse, dan Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz, yang hadir untuk menunjukkan sokongan mereka.

Program ini menampilkan persembahan pentas, permainan interaktif, trak makanan serta pemeriksaan kesihatan percuma, mewujudkan suasana meriah untuk peserta dari semua peringkat umur.

Antara acara utama ialah majlis penyerahan cek, di mana WM Senibong menyumbang RM100,000 kepada Hope Garden.

WM Senibong ialah pemaju berprestij yang telah memenangi pelbagai anugerah, terkenal dengan komuniti perancangannya seperti Senibong Cove, Crest@Austin, The Kews dan Centennial ParcVista di selatan Malaysia.

Dengan menguruskan tanah strategik seluas lebih 2,000 ekar dan nilai pembangunan kasar dijangka melebihi RM30 bilion, WM Senibong dikenali dengan pendekatan placemaking, mewujudkan persekitaran yang menekankan pengalaman manusia, kesejahteraan dan rasa memiliki, tanpa mengorbankan reka bentuk dan nilai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan